SHAH ALAM, 22 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggerakkan pembangunan bandar lestari dan inklusif melalui rangkaian lebih 600 taman di bawah seliaannya.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Landskap MBSJ, Azlina Mat Salim berkata, ia termasuk 10 taman komuniti yang terletak dalam jarak berjalan kaki dari kawasan perumahan bagi menggalakkan penduduk mengamalkan gaya hidup lebih hijau.
Majlis itu juga meningkatkan aksesibiliti dengan memasang kemudahan permainan inklusif di 18 taman, dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa.

“Taman kami direka supaya dekat dengan kawasan perumahan bagi membolehkan penduduk mencapainya dalam masa 10 minit berjalan kaki. Inilah antara cara kami mempromosikan kelestarian,” katanya kepada Media Selangor pada Festival Taman Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini.
Beliau berkata festival yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa dari 17 hingga 26 Oktober itu menjadi platform kepada pihak berkuasa tempatan bertukar pandangan dengan bandar-bandar Asean lain mengenai reka bentuk bandar berdaya tahan berasaskan alam semula jadi.
Azlina menambah seni bina landskap memainkan peranan penting dalam pelancongan hijau dan ekonomi kreatif, selain menjadikan persekitaran bandar lebih menarik kepada pelawat dan peluang perniagaan.

“Bandar di rantau Asean kini semakin menekankan penyelesaian berasaskan alam dan perancangan yang baik untuk menjadi lebih berdaya tahan.
“Landskap yang indah menarik minat orang ramai. Kini banyak kafe dan perniagaan menitikberatkan landskap untuk menarik pelanggan, dan ini turut menyumbang kepada ekonomi kreatif,” katanya.
Bersempena tema Laman Warisan tahun ini, MBSJ menampilkan budaya masyarakat Orang Asli Temuan dari Kampung Sungai Rasau Hilir, Puchong, serta keindahan Hutan Ayer Hitam yang menempatkan tasik biru tersembunyi.

Beliau berkata kedua-dua lokasi itu menggambarkan warisan semula jadi dan budaya yang menjadi kebanggaan bandar Subang Jaya.
“Melalui Laman Warisan, kami ingin mendekatkan semula komuniti bandar dengan akar warisan mereka serta menunjukkan bagaimana keharmonian antara manusia, alam dan budaya dapat menginspirasikan kehidupan bandar yang lestari dan kreatif,” katanya.
Festival anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 9 pagi hingga 11 malam dan menampilkan 12 komponen termasuk Taman Warisan Malaysia, Pertandingan Balkoni KL, Seni Arca Alam, Titiwangsa Mistikal, Taman Kediaman, Irama Kehidupan, Bazar Pasaran Asean, Taman Arca Asean, Aktiviti Pengembaraan dan Penerokaan, Ekspresi Belia, Taman Komuniti dan Inspirasi Alam.
