ad

Ribut: Jais baiki kerosakan SRA Kampung Medan, sumbangan kepada PIBG, pelajar terkesan

16 Okt 2025, 3:17 AM
Ribut: Jais baiki kerosakan SRA Kampung Medan, sumbangan kepada PIBG, pelajar terkesan

SHAH ALAM, 16 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membaiki kerosakan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Sijangkang yang rosak akibat ribut petang semalam.

EXCO agama Islam berkata Jais juga menghulur sumbangan RM5,000 kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) selain bantuan RM500 kepada setiap 13 pelajar yang terkesan dalam kejadian berkenaan.

Jelas Dr Mohammad Fahmi Ngah, ketika ini dua pelajar yang mengalami kecederaan agak parah, masing-masing melibatkan kornea mata dan paru-paru masih mendapatkan rawatan di hospital.

“Pagi ini kita hantar pegawai Jais turun ke lokasi untuk membuat penilaian dan juga anggaran kos pembaikian blok-blok terkesan.

“Pelajar terkesan itu alami luka-luka kecil. Mereka dah terima rawatan, ada yang berjahit dan sudah pulang ke rumah. Yang agak parah alami kecederaan kornea dan sorang lagi paru-paru,” katanya.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada Media Selangor selepas merasmikan Seminar Perundangan Jenayah Syariah Kesalahan, Implikasi dan Integriti Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Oktober 2025. Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas merasmikan seminar perundangan jenayah syariah kesalahan, implikasi dan integriti penjawat awam di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri (SUK) di sini hari ini.

Mohammad Fahmi berkata kerja pembaikan akan berjalan minggu depan manakala sesi persekolahan akan berlangsung secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu.

Katanya, hanya pelajar darjah lima perlu hadir ke sekolah pada minggu kedua kerana  terlibat dengan peperiksaan Jais.

“Dari segi pembelajaran secara Pdpr, kita tak ada masalah sebab sudah ada pengalaman ketika berdepan pandemik Covid-19. Sistem dan modul masih ada,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, selain menjejaskan surau SRA Taman Medan, ribut juga turut menyebabkan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang hingga mencederakan seorang wanita.

Sehubungan itu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Harmoni di Kampung Sijangkang dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.