SHAH ALAM, 27 NOV: Dua premis penyembelihan ayam di sekitar Klang Utara didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
MBDK menerusi hantaran Facebook memaklumkan pemeriksaan mendapati kedua-dua premis berkenaan aktif menjalankan operasi dan memiliki tauliah penyembelihan sah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Bagaimanapun, kedua-duanya gagal mematuhi syarat pelesenan perniagaan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua premis berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah daripada MBDK.
“Empat notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang terlibat atas kesalahan yang dikesan,” menurut hantaran itu.
Operasi pemeriksaan dijalankan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK di sekitar Kampung Perepat, Sungai Pinang Dalam dan Tanjung Syawal.
MBDK turut mengingatkan semua pengusaha supaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah sebelum memulakan operasi.
Menurutnya, pemantauan akan diteruskan bagi memastikan aktiviti perniagaan di sekitar Klang mematuhi syarat pelesenan serta beroperasi secara sah dan teratur.








