SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM274 juta menerusi Program Bantuan Sekolah Selangor bagi membiayai kerja pembaikan infrastruktur dan menaik taraf kemudahan sekolah sejak 2009, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan akan diteruskan, selain menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong institusi pendidikan, khususnya sekolah agama, menerusi bantuan kewangan dan penambahbaikan infrastruktur secara berterusan.
“Kita sedang berusaha mempercepat proses ini. Kita berharap usaha ini membuka jalan (kepada peluang pendidikan lebih baik untuk pelajar).
“Kita berharap ia bukan sahaja diteruskan, malah diperkukuh bagi memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan di Hotel Mardhiyyah di sini, hari ini.
Amirudin berkata bagi tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11 juta untuk kerja penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur 380 sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), meningkat berbanding RM9 juta tahun lalu.

Sekolah terbabit merangkumi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Islam (SRI) serta Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).
Katanya, peruntukan sebanyak RM11 juta turut disediakan bagi tahun depan menerusi Belanjawan Selangor 2027.
Menurut Amirudin, pendidikan kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri yang menyedari kepentingan pembangunan modal insan menerusi perkembangan jasmani, mental dan rohani secara seimbang.
“Pendidikan adalah antara tonggak utama yang perlu kita bangunkan dan kita tidak boleh membiarkan institusi pendidikan agama ketinggalan,” katanya.
Amirudin menambah Kerajaan Negeri akan terus menyokong pendidikan agama menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan infrastruktur, latihan guru serta usaha membolehkan pelajar tahfiz memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).








