SHAH ALAM, 16 OKT: Pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, Kuala Langat dinasihatkan supaya menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan terjamin.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata nasihat itu dikeluarkan selepas prosedur pemeriksaan struktur dilakukan pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor susulan kejadian ribut di sekolah berkenaan.
“JKR Selangor dan Kuala Langat telah turun padang bagi menjalankan pemeriksaan struktur dan penilaian keselamatan di sekolah berkenaan. Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Selangor juga menjalankan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian bangunan terjejas sebagai langkah awal mengelakkan kemalangan.
“JKR kini sedang menyediakan anggaran kerja pembersihan dan perlindungan aset bagi mengelakkan kerosakan lebih serius selain laksana tindakan sewajarnya.
"Blok bangunan baharu di bawah program Sekolah Berkepadatan Tinggi yang baru diserahkan hari ini, turut mengalami kerosakan kecil pada penutup bumbung, dan kontraktor sudah diarahkan untuk melaksanakan pembaikan segera,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut menyeru semua pihak khususnya orang awam supaya berhati-hati dan menjauhi kawasan yang mengalami kerosakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Semalam, beberapa kawasan sekitar Meru dan Kuala Langat dilanda ribut menyebabkan kerosakan pada kediaman, sekolah serta kenderaan penduduk.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM) Selangor memaklumkan SK Sijangkang Jaya antara yang paling terjejas.




