ad

Kes tikam di sekolah: Fakta utama kes, apa sebenarnya berlaku

16 Okt 2025, 1:01 AM
Kes tikam di sekolah: Fakta utama kes, apa sebenarnya berlaku
Kes tikam di sekolah: Fakta utama kes, apa sebenarnya berlaku
Kes tikam di sekolah: Fakta utama kes, apa sebenarnya berlaku
Kes tikam di sekolah: Fakta utama kes, apa sebenarnya berlaku
Kes tikam di sekolah: Fakta utama kes, apa sebenarnya berlaku

Insiden pembunuhan di sebuah sekolah di Bandar Utama Selasa lalu, dianggap sebagai tragedi hitam dalam sistem pendidikan negara.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek pelajar lelaki berumur 14 tahun bertindak menikam pelajar perempuan tingkatan empat di tandas sekolah berkenaan.

Media Selangor kongsikan beberapa fakta utama mengenai kes tersebut berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta ahli keluarga terlibat.

APA HASIL SIASATAN POLIS?

Suspek tidak pernah luah perasaan cinta kepada mangsa

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan suspek tidak pernah meluahkan perasaan cinta kepada mangsa.

Malah, menurut Shazeli, kedua-dua remaja itu berlainan kelas dan umur, jadi mereka dipercayai tidak berinteraksi antara satu sama lain.

Katanya, polis masih meneliti motif sebenar dan menjalankan siasatan terhadap semua aspek termasuk latar belakang emosi kedua-dua pelajar.

“Setakat siasatan hingga kini, kita percaya suspek mempunyai perasaan kepada si mati tapi tidak dikongsikan kepada si mati. Ini lebih kepada memendam perasaan,” katanya pada sidang media.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar pada sidang media mengenai perkembangan kes pelajar perempuan maut ditikam di Bandar Utama, Petaling Jaya di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 15 Oktober 2025. Foto BERNAMA

Suspek bertindak bersendirian

Shazeli memaklumkan siasatan awal mendapati suspek bertindak bersendirian tanpa perancangan rapi.

Menurutnya, kejadian berlaku secara tiba-tiba di kawasan tandas sekolah ketika waktu rehat. Suspek menikam mangsa dan cuba melarikan diri sebelum ditahan guru.

Suspek tiada rekod disiplin, senjata dibeli dalam talian

Siasatan mendapati senjata yang digunakan termasuk pisau dan kerambit dipercayai dibeli secara dalam talian oleh suspek dalam tempoh agak lama.

Selain itu, pihak polis turut mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod masalah disiplin dan saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

“Namun, kami akan menjalankan pemeriksaan lanjut termasuk mendapatkan bantuan pakar psikiatri,” kata Shazeli.

APA REAKSI KELUARGA DAN ORANG RAMAI?

Detik cemas kejadian

Insiden tikaman pelajar terbabit mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah, termasuk ibu bapa yang menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp.

Rata-rata ibu bapa bergegas ke kawasan sekolah untuk mengetahui situasi sebenar berhubung keselamatan anak masing-masing.

Suasana sebuah sekolah menengah selepas kejadian pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam pada 15 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beberapa pelajar turut menceritakan, suspek sempat masuk ke kelasnya sejurus selepas kejadian namun tidak bertindak agresif terhadap mana-mana pelajar lain.

Bapa suspek kesal apa yang terjadi

Bapa suspek meluahkan kepada pemberita bahawa hatinya remuk dengan perbuatan anak lelakinya itu.

Lelaki berusia 40 tahun itu, dalam satu temu bual dengan akhbar China Press, berkata beliau tidak menyangka anaknya mampu melakukan sebarang keganasan.

Beliau juga sedar permohonan maaf tidak mampu menebus apa yang sudah berlaku selain menyifatkan kejadian tersebut memberi tamparan hebat kepada dirinya dan keluarga.

Insiden cetus kebimbangan keselamatan pelajar

Kejadian tragis tersebut bukan sahaja menggemparkan masyarakat tetapi turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah.

Tinjauan Media Selangor mendapati kehadiran pelajar merosot dan suasana sedih masih menyelubungi guru, pelajar sekolah berkenaan.

Malah, ada ibu bapa dan bekas pelajar meletakkan jambangan bunga sebagai tanda turut bersimpati serta penghormatan kepada mangsa.

Suasana sekolah menengah selepas kejadian pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam pada 15 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

APA TINDAKAN PIHAK BERKUASA?

KPM tubuh jawatankuasa khas, MB jamin tingkat keselamatan sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan semua aspek terkait dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pasukan kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada pelajar, guru serta seluruh warga sekolah tersebut.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan polis, KPM serta komuniti setempat untuk meningkatkan keselamatan di sekolah.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok bagi memutuskan langkah segera termasuk aspek keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar.

DUN Bandar Utama sedia hulur bantuan

Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama sedia menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa terlibat.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya sedia memberikan segala sokongan yang sewajarnya kepada mereka yang memerlukan dalam menghadapi situasi sukar itu.

APA PERKEMBANGAN SUSULAN?

Suspek direman, 57 saksi bantu siasatan

Suspek pelajar lelaki 14 tahun itu direman tujuh hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Polis turut merakam keterangan daripada 57 individu termasuk guru, pelajar serta ahli keluarga mangsa dan suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Pengamal media membuat liputan mengenai kes tikam pelajar sekolah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Oktober 2025. Foto BERNAMA

Upacara pengebumian mangsa

Menurut notis pengebumian yang dikeluarkan rumah pengebumian Nirvana, upacara penghormatan terakhir bagi mendiang akan diadakan di Majestic Hall 3, Nirvana Center Kuala Lumpur, sehingga Isnin (20 Oktober) ini.

Upacara sembahyang terakhir dijadual berlangsung pada pagi Isnin sebelum upacara kremasi dijalankan di Nirvana Crematorium, Shah Alam.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), apabila ahli keluarga pelajar perempuan yang maut ditikam rakan sekolahnya di Petaling Jaya, hadir bagi urusan bedah siasat pada 14 Oktober 2025. Foto BERNAMA