ad

Insiden pelajar maut ditikam cetus kebimbangan keselamatan di sekolah

15 Okt 2025, 2:00 PM
Insiden pelajar maut ditikam cetus kebimbangan keselamatan di sekolah
Insiden pelajar maut ditikam cetus kebimbangan keselamatan di sekolah
Insiden pelajar maut ditikam cetus kebimbangan keselamatan di sekolah
Insiden pelajar maut ditikam cetus kebimbangan keselamatan di sekolah

PETALING JAYA, 15 OKT: Kejadian tragis membabitkan pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama semalam bukan saja menggemparkan masyarakat tetapi turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan murid di sekolah.

Tinjauan Media Selangor di sekolah itu mendapati kehadiran pelajar merosot dan suasana sedih masih menyelubungi guru, pelajar sekolah berkenaan.

Malah ada ibu bapa dan bekas pelajar meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.

Insiden berlaku kira-kira jam 9.10 pagi apabila mangsa berusia 16 tahun dipercayai ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di tandas perempuan sekolah berkenaan.

Suspek kemudiannya ditahan di lokasi bersama dua bilah pisau yang dirampas polis.

Seorang pengendali bas sekolah memaklumkan hampir semua pelajar yang menaiki kenderaan itu tidak hadir susulan trauma selepas kejadian berdarah itu.

“Selepas kejadian, pihak sekolah mengetatkan kawalan dengan tidak membenarkan ibu bapa atau pemandu bas memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Seorang bapa sekolah berhampiran dikenali Huszaifah, turut melahirkan rasa bimbang dan menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperketat pemeriksaan keselamatan.

“Sebagai ibu bapa, kami sangat risau. Sekolah sepatutnya tempat paling selamat untuk anak-anak. Kami harap langkah keselamatan dipertingkat dan pemeriksaan mengejut dilakukan bagi mengelak pelajar membawa barang berbahaya,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan komunikasi lebih berkesan antara guru, pelajar dan pentadbir bagi mewujudkan suasana pembelajaran selamat dan harmoni.

Sementara itu, alumni sekolah berkenaan berkata, komuniti alumni sukar menerima tragedi berkenaan memandangkan sekolah tersebut sebelum ini dikenali dengan disiplin pelajar yang baik.

“Kami sangat terkejut. Sekolah ini terkenal dengan pelajar berdisiplin dan aktif. Diharap pihak sekolah meningkatkan kawalan dan pemeriksaan berkala agar insiden seperti ini tidak berulang,” katanya yang dikenali sebagai Tan.

Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki dan mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan atau interaksi sebelum kejadian.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai bukan dirancang sebaliknya dipengaruhi dorongan emosi dan kandungan media sosial.

“Hasil siasatan awal kami tidak menemui sebarang bukti buli. Penemuan awal juga menunjukkan suspek dan mangsa tidak saling mengenali sebelum insiden berlaku.

“Suspek dipercayai bertindak demikian dipengaruhi oleh dorongan emosi dan pendedahan kepada kandungan tertentu di media sosial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.