ad

Selangor, polis dan KPM kerjasama rapat pastikan sekolah kekal selamat - MB

14 Okt 2025, 7:03 AM
Selangor, polis dan KPM kerjasama rapat pastikan sekolah kekal selamat - MB

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan komuniti setempat bagi memastikan sekolah kekal menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengulas insiden tragik melibatkan kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pagi tadi.

“Perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera bagi menjamin keselamatan semua anak-anak kita di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, insiden itu mengejutkan dan menyayat hati, malah turut memberi kesan mendalam kepada masyarakat, khususnya ibu bapa serta warga sekolah.

“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui ibu bapa mangsa.

“Saya mengucapkan takziah kepada mereka, semoga mereka diberikan kekuatan serta perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini,” katanya.

Menurut Amirudin, beliau sudah berhubung dengan Ketua Polis Selangor yang mengesahkan polis sedang menjalankan siasatan kes berkenaan dan memaklumkan bahawa kejadian tidak melibatkan unsur perkauman.

“Pihak polis akan terus menyiasat elemen jenayah dalam kes ini dan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai,” katanya.