ad

Beri ruang polis, pihak berkaitan siasat kes pelajar maut ditikam

14 Okt 2025, 8:31 AM
Beri ruang polis, pihak berkaitan siasat kes pelajar maut ditikam

SHAH ALAM, 14 OKT: Semua pihak diminta memberi ruang kepada semua pihak termasuk polis, menjalankan siasatan dengan seadilnya berhubung kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pagi tadi.

Wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin turut menyeru orang ramai supaya mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak tepat yang hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya amat sedih dengan kejadian tragis yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4) itu pagi tadi.

“Saya telah dihubungi pelbagai pihak untuk mengulas insiden yang berlaku, namun kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan sebaiknya merujuk kenyataan rasmi oleh pihak polis berdasarkan siasatan yang dijalankan.

“Pejabat saya juga sedang mendapatkan maklumat hasil siasatan pihak berkuasa yang berkaitan dan bersedia untuk memberikan bantuan serta sokongan yang diperlukan dalam situasi sukar ini,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Jamaliah yang juga EXCO Kesihatan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan semoga diberi kekuatan serta ketabahan.

Pagi tadi, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan ditikam dengan senjaga tajam dipercayai pisau.