SHAH ALAM, 16 OKT: Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin mendakwa terdapat kira-kira 200 kesan tikaman di tubuh anaknya.
Wong Lee Ping berkata, berdasarkan laporan bedah siasat oleh pihak patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kebanyakan kesan luka tertumpu pada bahagian kanan badan.
“Laporan tular di media sosial mengenai kejadian itu banyak yang tidak benar dan mengguris hati keluarga. Saya dapat tahu anak saya ditikam 200 kali.
“Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru," katanya pada sidang media di rumah pengebumian Nirvana Kuala Lumpur, petang tadi seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut wanita itu, polis memaklumkan suspek memanjat ruang tandas tempat anaknya berkurung sebelum bertindak kejam.
"Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, segala-galanya sudah terlambat," katanya.
Lee Ping turut menafikan dakwaan kononnya anaknya diserang secara seksual dan mengenali suspek.
“Anak saya telah menjadi mangsa. Saya harap orang ramai hentikan berkongsi berita tidak benar di media sosial," katanya.
Sementara itu, Lee Ping menyifatkan mendiang anaknya sebagai seorang yang aktif bersukan dan amat berdisiplin.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pengaruh permainan video dan kandungan media sosial tertentu mungkin menjadi antara faktor mendorong suspek berusia 14 tahun itu bertindak kejam.
"Kita sedang menyiasat platform media sosial yang mungkin mempengaruhi suspek. Media sosial ini sangat luas. Jadi kita beri ruang kepada polis untuk kenal pasti medium sebenar.
“Permainan video berkemungkinan itu salah satunya,” katanya selepas program walkabout bersama usahawan Little India sempena Deepavali di Klang, hari ini.
Beliau berkata, tindakan suspek memakai sarung tangan dipercayai sebahagian daripada persiapan awal sebelum kejadian.
Katanya, siasatan kini menumpukan kepada motif serta pengaruh luar yang mungkin mendorong remaja itu bertindak sedemikian.
Tragedi di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin mengejutkan seluruh negara dan menimbulkan persoalan besar mengenai pengaruh media sosial terhadap remaja serta keselamatan pelajar di sekolah.