ad

MPHS, KDEBWM tambah zon kutipan sisa di Hulu Selangor

15 Okt 2025, 6:57 AM
MPHS, KDEBWM tambah zon kutipan sisa di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) menambah jumlah zon pengumpulan sisa daripada 34 kepada 45 zon.

Yang Dipertuanya Julaihah Jamaludin berkata langkah itu diambil berikutan penduduk Hulu Selangor menjana di antara 5,000 hingga 6,00 tan sisa setiap hari.

"Kontrak antara MPHS dan syarikat konsesi pengurusan sisa selari dengan Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor (PISPPANS) 2024–2033 yang dilancarkan Dato' Menteri Besar.

“Perjanjian bernilai RM18.7 juta setahun ini turut merangkumi perolehan 45 lori Roll-On Roll-Off (roro),” katanya kepada Media Selangor.

Pekerja pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil barangan kitar semula yang sudah diasing dari kediaman penduduk di Bandar Puteri 9, Puchong, Subang Jaya pada 15 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pengarah urusan KDEBWM berkata perubahan berkenaan berkuat kuasa sejak 1 September lalu hingga 31 Ogos 2032, manakala peruntukan bagi perolehan lori berkenaan telah dibayar lebih awal.

“KDEBWM telah mengeluarkan sebanyak RM9 juta sebagai bayaran pendahuluan memperoleh lori-lori ini, yang setiap satunya mampu menampung sehingga 7.5 tan sisa pada satu-satu masa,” kata Dato' Ramli Mohd Tahir.

Sebelum ini, Selangor melancarkan PISPPANS 2024–2033 dalam memastikan pengurusan sisa pepejal lebih tersusun, mampan dan berkesan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah penting itu seiring dengan aspirasi untuk membina negeri yang bersih, lestari dan berdaya huni.