SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor hari ini melancarkan Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor (PISPPANS) 2024–2033 dalam memastikan pengurusan sisa pepejal lebih tersusun, mampan dan berkesan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah penting itu seiring dengan aspirasi untuk membina negeri yang bersih, lestari dan berdaya huni.
Menurutnya, dengan pendekatan 5R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle & Recover, pembangunan tapak pelupusan sanitari tahap empat dan pelaksanaan projek sisa kepada tenaga (WTE), Selangor akan terus memacu inisiatif kelestarian yang bukan saja menjaga alam sekitar malah meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Bukan itu sahaja, kesedaran juga amat penting. Rakyat perlu dididik mengenai cara pengendalian sisa yang betul serta cara pengasingan sisa pepejal di punca.

“Dengan usaha bersama ini, Selangor bukan sahaja akan terus menjadi negeri maju, tetapi juga sebuah negeri yang benar-benar selesa dan berdaya huni untuk didiami oleh semua,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Julai lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata kutipan sisa pepejal di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mencatat kadar pematuhan melebihi 90 peratus setiap tahun.
Katanya pencapaian itu hasil pemantauan prestasi berkala oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bersama setiap PBT.