SHAH ALAM, 1 JULAI: Pembuangan pelbagai jenis sisa secara tidak terkawal di kawasan komersial Setia 88, Setia Alam dikenal pasti sebagai punca utama longgokan sampah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan kebanyakan sisa yang dibuang adalah di luar skop kutipannya, antaranya sisa pengubahsuaian bangunan, pakaian terpakai, kain, perabot serta pelbagai jenis sisa pukal lain.
“Selain itu, tong sampah yang disediakan untuk pembuangan sisa domestik turut disalahgunakan apabila dicampurkan dengan sisa perniagaan dan sisa pengubahsuaian.
“Keadaan ini menyebabkan kapasiti tong tidak mencukupi, sekali gus mengakibatkan berlakunya longgokan sampah di sekitar kawasan tersebut,” katanya menerusi kenyataan kepada Media Selangor.
Menurut KDEBWM, hasil pemantauan turut mendapati aktiviti pembuangan sampah secara haram dilakukan pihak luar pada waktu malam, menyebabkan kawasan itu menjadi antara lokasi yang merekodkan kadar penghasilan sisa tertinggi di bawah seliaannya.

Jelasnya, keadaan itu menyukarkan usaha kawalan kerana sebahagian besar sisa yang ditemui dipercayai bukan berpunca daripada premis perniagaan di kawasan berkenaan, seperti dimaklumkan peniaga.
Bagi menangani isu berkenaan, KDEBWM telah meningkatkan kekerapan kemasukan tong roll-on roll-off (RORO) melebihi jadual asal bagi menampung jumlah sisa yang tinggi di lokasi tersebut.
Pada masa sama, KDEBWM turut mencadangkan pihak pengurusan bangunan meningkatkan pemantauan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik bagi mengesan individu tidak bertanggungjawab.
“Penguatkuasaan yang lebih tegas oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis atau individu juga perlu dibuat jika mereka didapati membuang sisa di luar skop yang dibenarkan serta melanggar peraturan pengurusan sisa,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna di platform Threads meluahkan rasa kecewa terhadap longgokan sampah di pusat komersial Setia 88, Setia Alam yang didakwa tidak diuruskan dengan baik.







