SHAH ALAM, 19 SEPT: Selepas 23 tahun bergelumang dalam bidang pengurusan sisa pepejal, KDEB Waste Management (KDEBWM) memberi amaran tegas - sistem sisa negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan masa semakin suntuk untuk diperbetulkan.
“Di Malaysia, piramid sisa kita terbalik. Majoriti sisa terus dihantar ke tapak pelupusan, hanya sebahagian kecil sahaja dikitar semula.
“Inilah isu utama yang kita hadapi, dan keadaan ini tidak mampan,” kata Pengurus Besar Operasinya Idris Mohamed Yusof ketika temu bual bersama Media Selangor.
Beliau menegaskan, kesannya bukan sekadar membebankan kewangan, malah lebih besar kerana tapak pelupusan semakin menghampiri kapasiti maksimum, sekali gus berisiko mencemarkan tanah, menjejaskan air bawah tanah serta menyebabkan kawasan terbabit tidak dapat digunakan selama beberapa dekad.
Sejak 2016, jumlah kutipan harian KDEBWM meningkat daripada 6,500 tan kepada hampir 10,000 tan pada 2024, menjadikan lebih 30 juta tan dikumpulkan kurang daripada sedekad.
Menjelang 2027, angka itu dijangka mencecah 10,800 tan sehari, didorong oleh pesatnya pembangunan bandar di Klang, Petaling Jaya, Kajang dan Ampang Jaya.

Kitar semula sebagai penyelesaian
Menurut Idris, teknologi sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Usaha pertama adalah perubahan budaya masyarakat terhadap cara mengurus sisa.
Beliau memberi contoh ketika lawatannya ke Surabaya, Indonesia, yang mana wilayah itu berjaya membina budaya kitar semula melalui sistem bank sampah dengan menawarkan ganjaran kecil kepada penduduk sebagai pertukaran sisa yang diasingkan.
Penduduk boleh ‘mendepositkan’ barangan kitar semula mengikut berat ke dalam akaun khas dan menebus nilai wang apabila jumlah terkumpul mencukupi.
“Mentaliti mereka berbeza. Bagi mereka, 10 sen untuk sebotol plastik ada nilai. Di sini, kita anggap tiada apa-apa,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Surabaya turut membangunkan loji jana kuasa tenaga daripada sisa (WTE) di Benowo, yang memproses kira-kira 1,000 tan sisa bercampur setiap hari melalui teknologi pembakaran dan gas bagi menjana elektrik.
"Loji tersebut mula beroperasi menggunakan gas tapak pelupusan pada 2015 sebelum berkembang dengan pembakaran sisa pada 2021.
“Malaysia perlu mencontohi model berasaskan insentif ini di samping membangunkan ekonomi kitaran sepenuhnya, diperkukuh dengan pematuhan alam sekitar dan penguatkuasaan tegas,” tegas Idris.
Beliau menekankan tiga pihak utama perlu bekerjasama iaitu penjana sisa (rakyat), pengutip (seperti KDEBWM) dan penguat kuasa (pihak berkuasa tempatan).

WTE jadi penyelesaian jangka panjang
Bagi sisa yang tidak dapat dikitar semula, Idris percaya teknologi WTE adalah penyelesaian paling berdaya maju untuk jangka panjang.
Di Selangor, loji WTE seperti Sultan Idris Shah Green Energy Plant (Sisgep) di Rawang dan kemudahan WTE Jeram dijangka membantu mengurangkan krisis.
Sisgep yang dibangunkan melalui usaha sama KDEBWM dan YTL Power Generation Sdn Bhd bernilai RM4.5 bilion, mampu memproses sehingga 2,400 tan sisa sehari menggunakan teknologi moving-grate.
Loji ini disasar mengurangkan sehingga 90 peratus sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, menjana 58 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui, mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan ketika pembinaan serta lebih 100 jawatan tetap ketika beroperasi.
Hasil sampingan seperti abu dasar dan abu terbang akan diguna semula dalam industri simen YTL di Perak, manakala semua air kumbahan dirawat dan dikitar semula di tapak bagi mencapai piawaian sifar pelepasan.

Kekangan dana
Menurut Idris, walaupun pelan jangka panjang tersedia, cabaran utama kekal pada aspek pembiayaan.
“KDEBWM sentiasa perlu mencapai lebih banyak hasil menggunakan sumber yang lebih sedikit, bergantung kepada subsidi silang daripada hasil kutipan lebih tinggi di pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Shah Alam untuk menampung kawasan kecil dan luar bandar seperti Sabak Bernam,” katanya.
Dengan bajet tahunan RM550 juta, KDEBWM kini mengutip lebih 7,300 tan sisa sehari berbanding Alam Flora yang hanya mengurus kira-kira 4,000 tan di bawah kontrak Persekutuan yang lebih besar.
Kini KDEBWM menerima bayaran sekitar RM7 hingga RM8 satu tan bagi kerja kutipan berbanding RM14 hingga RM15 dibayar kepada konsesi lain.
Jurang pembiayaan itu, jelasnya, mengehadkan pelaburan dalam penyelesaian hijau dan program komuniti lebih baik.
“Jika Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 diratifikasi, ia akan membuka akses dana Persekutuan sekali gus membolehkan Selangor memperluaskan kitar semula serta inisiatif hijau,” katanya.