SHAH ALAM, 29 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) memohon kerajaan mempertimbangkan subsidi diesel berjadual kepada 800 lori Roll-On Roll-Off (Roro) miliknya susulan peningkatan kos operasi yang kini mencecah hampir RM5 juta sebulan.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata ketika ini hanya 500 lori kompaktor syarikat layak menerima subsidi diesel, manakala semua lori Roro masih perlu membeli bahan api pada harga pasaran.
"Kita sekali lagi merayu kepada kerajaan supaya mendengar aduan kami kerana 800 lori Roro KDEBWM tidak mendapat subsidi diesel berjadual.
"Lori Roro ini bukan lori besar. Kapasitinya hanya 7.5 tan dan digunakan untuk mengangkut sampah pukal serta sisa pembersihan yang tidak boleh dimampatkan. Ia perlu berulang-alik ke tapak pelupusan untuk melupuskan sisa tersebut.
"Dahulu sebuah lori boleh membuat sehingga tiga perjalanan sehari, tetapi apabila harga diesel meningkat, kos operasi turut bertambah sedangkan bayaran perkhidmatan masih kekal sama. Kami tidak mampu menanggung kos tambahan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn Bhd yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TM Enviro Industries Sdn Bhd, P Theevan, di ibu pejabat KDEBWM, di sini hari ini.

Ramli berkata kos diesel syarikat meningkat ketara daripada kira-kira RM2.5 juta kepada hampir RM5 juta sebulan susulan kenaikan harga bahan api.
Katanya, keadaan itu memberi tekanan kepada operasi harian terutama apabila lori perlu membuat beberapa perjalanan ke tapak pelupusan atau fasiliti pemprosesan.
Menurutnya, bagi mengawal peningkatan kos operasi, sebahagian lori Roro kini hanya melakukan satu perjalanan sehari ke tapak pelupusan berbanding sehingga tiga perjalanan sebelum ini.
"Dahulu, jika satu lori mengisi 100 liter diesel pada harga sekitar RM2 seliter, kosnya kira-kira RM200. Sekarang, pada harga sekitar RM4.50 seliter, jumlah sama mencecah RM450. Kos bertambah tetapi bayaran perkhidmatan masih sama.
"Apabila harga diesel meningkat lebih 100 peratus, syarikat tidak lagi mampu mengekalkan kekerapan tiga perjalanan sehari bagi setiap lori Roro kerana tiada peruntukan untuk menanggung kos perjalanan tambahan," ujarnya.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih mencabar apabila bayaran perkhidmatan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) lazimnya hanya diterima selepas tempoh antara 60 hingga 75 hari, sekali gus memberi tekanan kepada aliran tunai syarikat.

"Kami bukan mengutip emas, bijih timah atau minyak untuk dijual bagi meraih keuntungan. Sebaliknya, kami ialah penyedia perkhidmatan awam bagi pihak Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab melaksanakan kerja pembersihan," katanya.
Ramli berkata pihaknya telah membangkitkan perkara itu dalam beberapa forum selain mengemukakan surat kepada kementerian berkaitan.
"Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga pernah menulis kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) berhubung perkara sama, namun KDEBWM masih belum menerima sebarang jawapan.
"Tambahan kos ini mencecah jutaan ringgit setiap bulan dan perlu ditanggung syarikat walaupun kami merupakan sebahagian daripada Kerajaan Negeri.
"Kami berharap pertimbangan sewajarnya diberikan kerana perkhidmatan kutipan sampah merupakan keperluan asas kepada rakyat," katanya.
Pada 23 Jun lalu kerajaan mengumumkan mekanisme baharu subsidi diesel menerusi Program BUDI Diesel yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026.
Kerajaan turut mengumumkan dua penambahbaikan bagi memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada peniaga kecil serta menyemak kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kelayakan subsidi melibatkan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama individu di bawah Program BUDI Diesel serta kenderaan syarikat pengangkutan barangan yang layak di bawah SKDS.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengumuman mengenai perluasan subsidi diesel berjadual kepada kategori kenderaan lain.








