Program SELKitar kutip 6.3 juta kg sisa dari hampir 400,000 rumah

22 Ogos 2026, 10:00 AM
Program SELKitar kutip 6.3 juta kg sisa dari hampir 400,000 rumah
Program SELKitar kutip 6.3 juta kg sisa dari hampir 400,000 rumah

SEPANG, 22 OGOS: Lebih 6.3 juta kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpul dan diproses menerusi program Selangor Kitar Semula (SELKitar) sejak inisiatif itu diperkenalkan pada tahun lalu.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata jumlah kutipan tersebut membabitkan lebih 380,000 kediaman di seluruh daerah, sekali gus mencerminkan perubahan sikap masyarakat terhadap amalan pengasingan sisa.

“Sehingga kini kutipan kita sudah mencapai lebih 6.3 juta kg meliputi hampir 400,000 rumah di sembilan daerah seluruh Selangor. Angka ini mencerminkan komitmen kita.

“Saya percaya kita sebenarnya boleh dapat lebih kutipan. Tetapi program ini baharu dimulakan, jadi kesedaran masyarakat sangat penting untuk jayakan. Selepas ini kita akan pastikan kesedaran awam bergerak seiring,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran SELKitar Walk di Bandar Serenia di sini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir.

Dalam program berkenaan, Jamaliah dan Ramli turut meluangkan masa turun padang ke kediaman penduduk bagi mempromosikan inisiatif SELKitar yang akan bermula pada bulan hadapan.

Sementara itu, Jamaliah berkata, Kerajaan Negeri berhasrat memperluas program SELKitar bagi Fasa 2 pada tahun depan, membabitkan kediaman strata seperti pangsapuri dan kondominium.

Jelasnya, cadangan tersebut bagaimanapun sedang diperhalusi secara terperinci berikutan kediaman strata memiliki Badan Pengurusan Bersama (JMB) di bawah portfolio kerajaan tempatan.

“Bagi Fasa 1 kita akan lakukan post mortem dan kita akan teruskan ke fasa seterusnya, untuk bagaimana kita mahu menjayakan program ini di kawasan strata seperti pangsapuri dan kondominium.

“Itu memerlukan bantuan komuniti di kawasan berkenaan. Usaha ini sangat penting dan kita akan teruskan kerana ia merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) dibawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan RS-2,” katanya.

Pada April tahun lalu, Kerajaan Negeri menerusi KDEBWM selaku agensi pelaksana melancarkan program SELKitar bagi memperkasa inisiatif kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.

Kerjasama bersama Nestle Malaysia itu dimulakan di beberapa kawasan perumahan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebagai projek rintis.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.