Belanjawan 2026 galak anak muda cipta pekerjaan, bukan sekadar cari kerja – EXCO

11 Okt 2025, 3:01 AM
Belanjawan 2026 galak anak muda cipta pekerjaan, bukan sekadar cari kerja – EXCO
Belanjawan 2026 galak anak muda cipta pekerjaan, bukan sekadar cari kerja – EXCO
Belanjawan 2026 galak anak muda cipta pekerjaan, bukan sekadar cari kerja – EXCO

SHAH ALAM, 11 OKT: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai langkah tepat Kerajaan Persekutuan dalam membuka peluang kepada anak muda mencipta pekerjaan, bukan sekadar mencari kerja, kata EXCO Belia dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata penekanan terhadap belia, usahawan dan kumpulan M40 bukan sahaja memperkukuh daya tahan ekonomi negara, malah mencerminkan usaha berterusan kerajaan membangunkan kapasiti rakyat secara menyeluruh.

EXCO Belia dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media program Seni dan Keusahawanan Selangor 2025 (STEP2025) di Glass House Glenmarie, Shah Alam pada 2 Oktober 2025. Foto Pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor

“Pembiayaan RM150 juta melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM12 juta melalui SME Corp membuktikan komitmen kerajaan memperkasa usahawan muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Najwan, pelbagai inisiatif di peringkat negeri turut melengkapi agenda berkenaan, termasuk Platform Selangor (PLATS) dan Hijrah Selangor, yang membantu usahawan dari aspek latihan, bimbingan serta pemasaran bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik.

“Fokus kita bukan hanya menyediakan modal, tetapi membina ekosistem menyeluruh termasuk latihan, mentor, akses pasaran dan jaringan industri.

Matlamatnya melahirkan usahawan muda berdaya saing dan mampan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Mohd Najwan berkata belanjawan kali ini menunjukkan keseimbangan antara bantuan segera dan pelaburan jangka panjang yang diperlukan bagi menjamin kestabilan ekonomi negara.

“Pemberian RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas dan RM600 juta bagi Jualan Rahmah membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup.

Selangor sedia menyokong pelaksanaan dasar di peringkat negeri agar manfaat sampai terus kepada rakyat,” tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion di Dewan Rakyat.