SHAH ALAM, 7 OKT: Akses lebih mudah serta harga lebih rendah berbanding buku fizikal menjadi antara faktor buku elektronik (e-buku) semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Bagi Nur Izyan Najwa Mohmad Nazer, 22, selain kos dan kemudahan akses, tawaran e-buku secara percuma turut menjadi faktor penting, khususnya sebagai seorang pelajar.
Menurutnya, walaupun mengambil masa untuk membiasakan diri membaca e-buku, tabiat membaca yang disemai sejak alam persekolahan memudahkannya menyesuaikan diri dengan bahan bacaan digital.
"Disebabkan membaca adalah sebahagian daripada diri saya, semasa berada di bangku sekolah saya pernah bergelar Tokoh NILAM," katanya.
Sebagai pelajar bidang sains dan matematik, penggunaan e-buku turut memudahkannya mendapatkan maklumat dengan lebih pantas menerusi fungsi carian yang disediakan.
“Namun, untuk membaca novel, saya lebih suka buku fizikal kerana kita boleh memahami dan menjiwai apa yang ingin disampaikan,” katanya.
Katanya, peralihan ke alam universiti turut mengubah keutamaan apabila e-buku dilihat lebih praktikal untuk kegunaan pembelajaran, terutama apabila pensyarah menggunakan pelbagai bahan digital dalam proses pengajaran.

Sementara itu, Nur Dania Iman Mohd Din, 21, berkata e-buku memberi kemudahan kepada generasi muda untuk meneruskan amalan membaca pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Sebagai pengguna iPad, membaca e-buku lebih mudah diakses kerana semuanya terletak di hujung jari.
“Bahan mengajar sekarang pun semuanya dalam bentuk digital,” katanya.
Menurutnya, perkembangan teknologi bukan penghalang kepada amalan membaca, sebaliknya kemudahan digital boleh dimanfaatkan untuk mendekatkan generasi muda dengan bahan bacaan.

Bagi Aina Dalili Azizi, 22, pula, buku fizikal masih menjadi pilihan terutama untuk membaca novel kerana dia sudah terbiasa dengan bahan bacaan bercetak sejak dahulu.
Katanya, faktor penglihatan turut mempengaruhi pilihannya memandangkan penggunaan skrin dalam tempoh yang lama boleh menimbulkan isu kesihatan mata.
“Ada sekelompok orang yang tidak suka e-buku sebab tidak boleh pegang. Jika betul-betul penggemar buku, memang akan memilih buku fizikal berbanding e-buku,” katanya.
Menurut Aina lagi, harga buku bukan menjadi masalah baginya, malah dia tidak melihat membawa buku fizikal ke mana-mana sebagai satu beban.
Bagaimanapun, Aina tidak menafikan perkembangan teknologi memberi kesan terhadap tabiat membaca generasi muda yang kini lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui media sosial seperti TikTok.
Malaysia merekodkan kadar penembusan internet sebanyak 97.7 peratus dengan 34.9 juta penduduk menggunakan internet pada 2025, namun kadar penggunaan e-buku tidak melepasi 10 peratus, jumlah yang turut menjadi kebiasaan di banyak negara di dunia.
Bagaimanapun, usaha pendigitalan perpustakaan di institut pengajian tinggi seluruh dunia semakin dipergiat bagi memenuhi keperluan capaian global selain menyokong pemeliharaan sumber yang lebih lestari.








