Anak muda perlu isi kemerdekaan dengan ilmu, disiplin dan perpaduan

Anak muda perlu isi kemerdekaan dengan ilmu, disiplin dan perpaduan

KAJANG, 18 OGOS: Generasi muda perlu menghayati erti kemerdekaan dengan mengisi kebebasan menerusi ilmu, disiplin dan semangat perpaduan, selain menjadi pencetus perubahan kepada masyarakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, sebaliknya turut bermaksud membebaskan diri daripada gaya hidup dan pengaruh negatif yang boleh menjejaskan masa depan.

Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong Kian Young berucap di Majlis Penutupan Program Kempen Kajang Bersih Dihatiku di Sekolah Menegah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Isilah kemerdekaan dengan ilmu, disiplin, dan semangat perpaduan. Sayangilah negara kita dengan menghormati kepelbagaian bangsa, agama, dan budaya.

“Berusahalah menjadi generasi yang mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih maju, harmoni, dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku (KBKD) 5.0 DUN Kajang di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim dan ADN Kajang David Cheong Kian Young bergambar ketika majlis penutup Kajang Bersih Kajang Di Hatiku (KBKD 5.0) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

David berkata generasi muda tidak perlu menunggu sehingga dewasa untuk mula membawa perubahan kepada Kajang, sebaliknya usaha itu boleh dimulakan menerusi diri sendiri.

“Perubahan itu boleh bermula hari ini, bermula dengan diri sendiri. Sebuah bandar yang baik dibina oleh manusia yang baik.

“Saya percaya generasi inilah yang akan membawa Kajang menjadi lebih bersih, lebih maju, dan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.