SHAH ALAM, 22 JULAI: Ketidakmampuan memiliki kediaman sendiri dalam kalangan golongan belia bukan semata-mata berpunca daripada pendapatan rendah.
Sebaliknya menurut pensyarah kanan Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM), corak perbelanjaan antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka untuk membeli rumah.
Dr Rohayu Majid memberitahu ramai antara golongan berkenaan masih mengutamakan perbelanjaan untuk kenderaan, gajet dan hiburan berbanding mewujudkan simpanan untuk membeli rumah.
Katanya, kajian corak perbelanjaan menunjukkan ada individu berpendapatan sederhana tetapi berupaya membeli rumah ekoran mengamal tabiat menyimpan yang konsisten dan berdisiplin.

“Sebaliknya, ada juga golongan berpendapatan RM7,000 hingga RM8,000 sebulan yang masih belum memiliki rumah kerana perbelanjaan lebih tertumpu kepada gaya hidup dan hiburan.
“Bukan soal tidak mampu, sebaliknya ia banyak bergantung kepada tahap kesedaran dan tabiat berbelanja. Ada yang memahami bahawa rumah aset yang nilainya berpotensi meningkat dari semasa ke semasa.
“Namun, (sebahagian anak muda) memilih untuk mengutamakan perkara lain terlebih dahulu,” katanya kepada Media Selangor.
Dr Rohayu berkata usia 25 hingga 35 tahun tempoh terbaik untuk merancang pembelian rumah kerana kebanyakan individu mempunyai kerjaya lebih stabil dan berpeluang mengumpul simpanan.
Beliau menasihati anak muda menetapkan sasaran pemilikan rumah lebih awal termasuk mengenal pasti lokasi dan jenis kediaman yang diingini selain merancang kewangan secara berdisiplin.
Katanya, mereka juga kurang kesedaran terhadap pelbagai inisiatif membeli rumah antaranya Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang membantu golongan berpendapatan tidak tetap memperoleh pembiayaan sehingga 100 peratus.
“Ramai anak muda sebenarnya berpotensi memiliki rumah sebelum usia 35 tahun. Yang penting ialah perancangan, disiplin menyimpan dan kesediaan mengubah sedikit corak perbelanjaan supaya lebih seimbang.
“Memiliki rumah pertama merupakan impian yang realistik bagi anak muda. Peluang itu ada tetapi mereka perlu bijak merancang kewangan dan memanfaat segala kemudahan,” katanya.








