Belia mahu pendidikan lebih baik, peluang kerja diperluas

21 Jul 2026, 8:00 AM
Belia mahu pendidikan lebih baik, peluang kerja diperluas

BANTING, 21 Julai: Pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan meluas serta masyarakat berteraskan nilai murni antara harapan golongan belia bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing pada masa depan.

Menerusi tinjauan Media Selangor, golongan belia berkongsi pandangan masing-masing yang mahu negara terus berkembang sekaligus melahirkan graduan berkualiti.

Pelajar Kolej Matrikulasi Selangor, Mohammad Azegaf Naufal Zaman, 18 sistem pendidikan terus diperkasa bagi melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran kerja.

Menurutnya, lebih ramai belia perlu diberikan akses kepada pekerjaan berkualiti bagi mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan anak muda.

“Bagi saya, kejayaan adalah apabila seseorang dapat bekerja dalam bidang yang selari dengan apa yang dipelajarinya,” katanya.

Mohammad Azegaf Naufal Zaman, 18 ditemui media ketika sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor anjuran Jabatan Belia dan Sukan pada 13 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau turut berharap lebih ramai anak muda memperoleh pekerjaan berkualiti dan tidak berdepan masalah pengangguran selepas menamatkan pengajian.

Sependapat dengannya, Erina Nuha Mohd Zaini, 18 berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan khususnya untuk lepasan sekolah.

Katanya, peluang tersebut penting bagi membantu golongan muda menimba pengalaman serta menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan.

“Ramai belia mempunyai bakat dan kemahiran yang boleh diketengahkan sekiranya diberi peluang. Kejayaan juga tidak seharusnya diukur berdasarkan gaji semata-mata, tetapi kepuasan dan minat terhadap pekerjaan,” katanya.

Menurut statistik statistik Tenaga Buruh Malaysia Januari 2026, kadar pengangguran kekal pada 2.9 peratus melibatkan 509,600 orang, manakala jumlah penduduk bekerja meningkat kepada 16.77 juta orang.

Kadar penyertaan tenaga buruh turut naik kepada 70.9 peratus, sekali gus mencerminkan perkembangan positif pasaran pekerjaan negara.

Menurut statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Januari 2026, kadar pengangguran kekal pada 2.9 peratus melibatkan 509,600 orang, manakala jumlah penduduk bekerja meningkat kepada 16.77 juta orang. FOTO Harun Tajudin

Berdasarkan kajian Khazanah Research Institute, graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatatkan kadar kebolehpasaran pekerjaan lebih tinggi berbanding graduan bukan TVET.

Secara purata antara 2010 hingga 2020, sebanyak 75.6 peratus graduan TVET berjaya mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian, berbanding 64.0 peratus graduan bukan TVET dalam tempoh sama.

Sementara itu, Dharshini Vengadeswara Rao, 18 berharap Malaysia terus menjadi negara yang aman dan harmoni.

Beliau turut berharap negara terus berkembang dalam bidang pendidikan, ekonomi dan teknologi demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.

"Saya berharap Malaysia terus berkembang dalam bidang pendidikan, ekonomi dan teknologi untuk menyumbang kepada generasi harini,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, katanya, golongan belia perlu mengurus masa dengan lebih baik, menjaga kesihatan mental serta menjauhi kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Pegawai tentera Asmidar Bahari, 30 ditemui media ketika sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor anjuran Jabatan Belia dan Sukan pada 13 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Bagi seorang pegawai tentera Asmidar Bahari, 30 kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kemajuan pembangunan, malah perlu disokong dengan pembentukan adab dan nilai yang baik dalam kalangan generasi muda.

“Bagi saya, kejayaan sebenar bermula daripada adab dan doa ibu bapa kerana nilai tersebut semakin kurang diberi penekanan dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Jika adab didahulukan, insya-Allah kejayaan akan menyusul,” katanya sambil menyatakan kesediaan untuk terus menyumbang kepada negara melalui peranannya sebagai askar wataniah apabila diperlukan.

Katanya, penggunaan media sosial yang semakin meluas dan pergaulan bebas perlu diberi perhatian agar tidak membawa kepada perkara yang tidak diingini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.