ad

Pelaksanaan hari pertama BUDI95 seluruh negara lancar

27 Sep 2025, 7:42 AM
Pelaksanaan hari pertama BUDI95 seluruh negara lancar
Pelaksanaan hari pertama BUDI95 seluruh negara lancar

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah insiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) pada hari pertama yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis, berjalan lancar seluruh negara.

Di PULAU PINANG, beberapa anggota pasukan keselamatan yang ditemui Bernama memaklumkan proses mengisi minyak menggunakan dokumen pengenalan diri mereka mudah dan pantas.

"Memang mudah dan cepat, sentuh kad debit bank dan masukkan kad pengenalan di terminal pembayaran di pam minyak sahaja, terus boleh isi minyak pada harga RM1.99 seliter," kata anggota tentera, Mohd Fazli Ibrahim, 32.

Golongan berkenaan merupakan peringkat pertama menikmati subsidi petrol itu pada harga RM1.99 seliter selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Sept lepas, mengenai inisiatif itu yang dilaksanakan secara berperingkat kepada rakyat.

Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 Sept, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 Sept ini.

Sementara itu, Penolong Ketua Balai Polis Jelutong Sarjan Mejar Herman Deng berkata beliau hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan di terminal pembayaran bagi melengkapkan transaksi, tanpa perlu memasukkan kad pengenalan, atau ke kaunter bagi melengkapkan transaksi.

“Bagi kami yang sering mengejar tugasan, kemudahan seperti ini amat diperlukan,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Jelutong.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying turut mengesahkan Kementerian Kewangan tidak menerima sebarang aduan teknikal berhubung pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah insiatif berkenaan di stesen-stesen minyak seluruh negara.

Di JOHOR, Ketua Polis negeri Datuk Ab Rahaman Arsad berkata secara keseluruhan sebanyak 9,534 warga polis di negeri itu yang layak menerima manfaat inisiatif berkenaan yang dilihat mampu meringankan beban pegawai dan anggota yang menggunakan kenderaan persendirian untuk bertugas.

Beliau yang turut mengambil peluang menyemak kelayakan dan mengisi minyak kenderaan pada Program Promosi BUDI95 di sebuah stesen minyak di Tangkak berkata proses BUDI95 adalah sangat mudah dan cepat, manakala petugas stesen minyak dilihat bersedia membantu memberikan penerangan.

"Prosesnya mudah dan tidak membebankan, saya percaya petugas di sesen minyak juga telah bersedia apabila manfaat BUDI95 diperluas pada 30 Sept ini," katanya.

Bagi Mejar A. Aaron Steve Abraham, 37, pelaksanaan subsidi bersasar itu juga merupakan bentuk penghargaan terhadap semua warga Malaysia dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Pegawai tentera itu berkata penggunaan MyKad sebagai syarat pula perlu bagi menjamin subsidi petrol disalurkan kepada rakyat tempatan.

"Ini (BUDI95) inisiatif yang baik dengan tumpuan kepada keperluan asas iaitu bahan api.

“Kaedah menggunakan MyKad untuk menikmati manfaat ini adalah untuk mengenal pasti pihak yang benar-benar layak menikmati inisiatif baharu ini,” katanya ditemui Bernama di sebuah stesen minyak di Senai.

Lt Muhammad Afiq Abu Bakar, 30, pula berkata inisiatif itu bertepatan dan memenuhi hasrat rakyat, sekali gus membolehkan mereka merancang serta melakukan penjimatan.

Pemberian subsidi seumpama itu, katanya dapat mengekalkan eksklusif “hadiah” untuk warganegara Malaysia yang tidak boleh dinikmati warga asing.

Di PERLIS, Timbalan Ketua Polis negeri SAC Mohd Ismail Ibrahim berkata sebanyak 1,648 warga PDRM di negeri itu menerima manfaat secara langsung daripada inisiatif berkenaan dengan pelaksanaannya berjalan lancar.

"Usaha ini bukan sahaja membantu dari sudut ekonomi isi rumah, tetapi juga meningkatkan semangat dan motivasi warga PDRM untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam di Perlis," katanya kepada Bernama.

Di TERENGGANU, seorang anggota polis berpangkat Sarjan, Mohd Hizwan Jahaya, 45, berkata pemberian subsidi sedemikian tentunya membantu rakyat Malaysia dalam melaksanakan tugas harian menerusi penjimatan kos petrol kenderaan mereka.

Pegawai polis DSP Norzaini Mat Noor menyifatkan inisiatif itu sebagai penghargaan terhadap rakyat Malaysia dan khidmat anggota penguat kuasa dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara.

Di SARAWAK, Koperal Fendy Mutang, 33, berkata inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia bagi mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka.

Lans Koperal Shahril Anuar, 32, pula berkata inisiatif BUDI95 sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui pendekatan subsidi bersasar.

Inisiatif itu, katanya bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah dapat mengurangkan ketirisan subsidi yang selama ini ditanggung kerajaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.