Berang lambat isi minyak, lelaki acu pisau terhadap pekerja p-panggilan

10 Ogos 2026, 2:02 AM
Berang lambat isi minyak, lelaki acu pisau terhadap pekerja p-panggilan

KUALA TERENGGANU, 10 OGOS: Polis menahan seorang lelaki yang bertindak agresif dengan mengacukan pisau pemotong daging terhadap pekerja p-panggilan di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 55 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam tadi di kediamannya di Kampung Nibung, dekat sini.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang mendakwa mangsa lambat mengisi minyak.

"Ketika sedang mengisi minyak kira-kira 4.30 petang, mangsa lelaki yang berusia 26 tahun telah didatangi suspek yang menaiki motosikal. Suspek tiba-tiba menjerit dan memarahi mangsa kerana dikatakan lambat mengisi minyak, tetapi tidak diendahkan.

"Suspek yang berang mengambil pisau pemotong daging dari bakul motosikalnya lalu mengacukannya kepada mangsa. Mangsa yang ketakutan telah melarikan diri sebelum membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain memiliki 15 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, mencuri dan menyerang dengan senjata berbahaya.

Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 Ogos bagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular dalam media sosial sebuah video berdurasi 23 saat, yang memaparkan seorang lelaki mengacukan pisau ke arah seorang pekerja p-panggilan ketika mangsa sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.