SHAH ALAM, 29 JULAI: Baucar Jom Shopping Hari Pahlawan bernilai RM200 setiap seorang dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta mula diagihkan secara berperingkat bermula hari ini, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan memanfaatkan 8,391 veteran polis dan tentera yang tidak berpencen di seluruh Selangor, dengan pengagihan dijangka selesai selewat-lewatnya pada awal Ogos.
“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif baharu yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor menerusi program Jom Shopping sempena Hari Pahlawan, khusus untuk veteran tentera dan polis yang tidak berpencen. Secara keseluruhannya, ia melibatkan kira-kira 8,300 penerima.
“Jika sambutan terhadap inisiatif ini menggalakkan, tahun depan kita akan mempertimbangkan untuk memperluaskannya kepada keseluruhan veteran yang berjumlah kira-kira 22,700 orang.
“Saya rasa jumlah itu tidak terlalu besar kerana setiap musim perayaan kita menyediakan bantuan kepada sekitar 60,000 hingga 70,000 penerima. Jadi, kita akan menilai kesesuaian serta kemampuan kewangan kerajaan.
“Senarai penerima diperoleh daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia yang mengenal pasti golongan veteran tidak berpencen. Bantuan ini disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Hari Pahlawan Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz hari ini.
Terdahulu, Amirudin diiringi EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu dan EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyampaikan baucar kepada veteran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Kota Anggerik dan Banting.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor Amirudin mengumumkan veteran polis dan tentera tidak berpencen di Selangor bakal menerima baucar Jom Shopping pada 31 Julai 2026.
Katanya, inisiatif baharu itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta pengorbanan para pahlawan.
Sementara itu, Papparaidu dalam ucapan berkata pemberian baucar merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan kepada para veteran yang telah berbakti mempertahankan keamanan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.
“Walaupun sumbangan ini tidak mampu membalas segala pengorbanan yang telah dicurahkan, namun ia melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk terus menjaga kebajikan para veteran.
“Program ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Selangor untuk memastikan agenda kebajikan terus diperkasakan, khususnya kepada golongan yang telah banyak berjasa,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Harun, 77, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas pemberian baucar berkenaan yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap veteran tentera dan polis yang tidak berpencen.
“Baucar ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian, terutama bagi kami yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada masa hadapan demi kebajikan golongan veteran yang tidak berpencen,” katanya.
Sementara itu, A. Ganesan, 70, berkata pemberian baucar julung kali itu amat bermakna dan memberi kegembiraan kepada golongan veteran yang tidak berpencen.
“Baucar ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian.
“Usia kami sudah meningkat dan anak-anak pula sudah berkeluarga. Kini hanya saya dan isteri tinggal di rumah, jadi bantuan ini banyak meringankan perbelanjaan kami,” katanya.







