SHAH ALAM, 17 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyiasat tujuh stesen minyak susulan isu petrol RON95 dipercayai bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan enjin kenderaan pengguna.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, tindakan penguatkuasaan secara serentak dijalankan semalam selepas pihaknya menerima 10 aduan rasmi, selain laporan tular di media sosial berhubung masalah kenderaan selepas mengisi petrol di beberapa stesen minyak sekitar negeri itu.
"Hasil pemeriksaan, 27 tin sampel petrol RON95 diambil dan disita daripada pam pengisian terjejas sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis makmal rasmi.
"Siasatan mendapati aduan daripada pengguna merangkumi pelbagai simptom kerosakan enjin seperti enjin mengeluarkan bunyi tidak normal, tersengguk-sengguk (jerking), kehilangan kuasa (loss of power), enjin gagal dihidupkan serta terdapat kes injap enjin terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah pemeriksaan lanjut pusat servis pengeluar kenderaan turut mengesahkan kerosakan enjin bagi sesetengah kenderaan pengadu berpunca pencemaran air dalam tangki bahan api.

Bagaimanapun Muhamad Hanif berkata, pemeriksaan awal mendapati semua premis terbabit memiliki Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.
Sehubungan itu katanya, KPDN mengeluarkan notis mengikut Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 bagi mengarahkan pemilik premis mengemukakan maklumat serta dokumen perniagaan untuk membantu siasatan.
Siasatan turut merangkumi kemungkinan pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 akta sama berhubung dakwaan perihal dagangan palsu berkaitan kandungan petrol dibekalkan.
KPDN katanya turut memberi amaran kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti ditetapkan.
Beliau berkata, tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati melakukan pelanggaran.
Dalam pada itu, pengguna terjejas dinasihatkan menyimpan resit rasmi pengisian petrol dan laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan untuk mengemukakan aduan serta membantu siasatan.







