SHAH ALAM, 7 OGOS: Veteran polis dan tentera yang tidak menerima pencen di Selangor disaran segera menuntut baucar Jom Shopping Hari Pahlawan bernilai RM200 seorang.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu berkata, kadar tuntutan baucar yang mula diagihkan pada penghujung Julai lalu masih rendah meskipun inisiatif itu disediakan khusus bagi menghargai jasa golongan veteran.
"Kita telah menyediakan RM200 baucar kepada seramai 8,391 orang dan buat program besar untuk dilancarkan pada minggu lalu. Cuma apa yang boleh saya rumuskan pada hari ini, penebusan baucar itu tidak begitu popular sangat atau pun mungkin tidak terima maklumat yang terpenci kepada veteran-veteran itu.
"Saya mohon sangat mereka, veteran-veteran tentera atau pun polis pergi jumpa dengan ahli dewan negeri (ADN) kawasan masing-masing untuk mendapatkan baucar supaya mereka boleh guna pakai untuk shopping dan sebagainya.
"Cuma pembelian itu tidak boleh buat pembelian rokok dan juga minuman keras, yang lainnya barang dan dapur semua boleh buat di semua pasaran yang tertentu...valid 1 Ogos hingga 31 Ogos sempena Hari Kemerdekaan,"katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengagihkan baucar Jom Shopping Hari Pahlawan bernilai RM200 setiap seorang membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Tua, Kota Anggerik dan Banting.
Dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta yang memanfaatkan 8,391 veteran polis dan tentera yang tidak berpencen di seluruh Selangor, baucar itu mula diagihkan secara berperingkat bermula 29 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Papparaidu memaklumkan buat masa ini, hanya 50 peratus atau kurang daripada 500 penerima baucar telah membuat tuntutan di tiga DUN terawal.
"Maksudnya terlalu sedikit, so memang ada banyak lagi,. Kita kena disburse about 8,391, banyak itu lagipun saya takut sekarang dah mid, kita valid hanya 31 Ogos.
"Apabila kita menghubungi mereka, kebanyakannya tidak update dengan contact number mereka, kemudian mereka juga telah pindah ke tempat lain, bukan hanya di Selangor dan sebagainya. Itulah membuatkan pekerja-pekerja sedikit sukar untuk menghubungi mereka.
"Mereka boleh buat periksa dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran dan polis kerana senarai nama diberikan mereka. Atau paling senang datang ke pejabat DUN masing-masing," katanya.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor Amirudin mengumumkan veteran polis dan tentera tidak berpencen di Selangor bakal menerima baucar Jom Shopping pada 31 Julai 2026.
Katanya, inisiatif baharu itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta pengorbanan para pahlawan.







