SHAH ALAM, 14 OGOS: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) bersetuju cadangan Selangor menambah tiga sukan baharu iaitu petanque, muay thai dan silambam dalam temasya itu.
Cawangan Komunikasi Korporat Majlis Sukan Negara menerusi kenyataan memaklumkan dengan penambahan tiga sukan berkenaan, menjadikan tujuh acara pilihan dan 30 acara wajib dipertanding dalam SUKMA 2026.
"Mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bersetuju menerima penambahan tiga sukan pilihan yang dicadang Mohd Najwan Halimi selaku pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026.
"Dengan penambahan sukan tambahan itu, jawatankuasa tertinggi SUKMA juga memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbang," katanya.
Cawangan Komunikasi Korporat itu turut memaklumkan kementerian sedang mengkaji inisiatif penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ bagi acara yang tidak terpilih ke SUKMA.
"Selain itu, turut dikaji model baharu penganjuran SUKMA selepas temasya SUKMA Kelantan 2028 bagi menjamin kesinambungan pembangunan sukan dan atlet tanpa membebankan peruntukan kerajaan daripada aspek penganjuran," katanya.
Sebelum ini, Mohd Najwan dalam sidang media memaklumkan Selangor mencadangkan tiga sukan tambahan untuk dipertandingkan dalam SUKMA 2026.
Jelasnya, cadangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mengambil kira permohonan beberapa persatuan sukan.

Pada 22 Julai lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan SUKMA Selangor 2026 bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.
Penganjuran edisi kali ini bakal melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang akan diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan empat sukan tambahan telah diluluskan untuk SUKMA 2026 iaitu e-sukan, catur, kriket dan kabadi.
Sementara itu, tinju dan sofbol pula diangkat sebagai sukan wajib, menjadikan jumlah keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi akan datang.