Segalanya bermula dengan pelawaan sang ibu yang mahu anaknya mencuba sesuatu yang baharu. Tanpa diduga, langkah kecil itu akhirnya membuka jalan besar buat seorang remaja.
Saif Nordin mula diperkenalkan kepada sukan lawan pedang di Touche Fencing Club, Petaling Jaya, ketika usianya baharu lapan tahun. Pada awalnya, ia sekadar aktiviti hujung minggu yang dicadangkan ibunya, Somaya Ong, 45.
Namun daripada sekadar mencuba, timbul rasa minat yang semakin mendalam. Kini dia menggalas tanggungjawab sebagai atlet kebangsaan, membawa harapan untuk mengharumkan nama negara.
Remaja 15 tahun itu menyifatkan sukan berkenaan bukan sekadar menuntut kekuatan fizikal, malah strategi serta ketajaman mental yang tinggi.
“Sebelum menyertai sukan lawan pedang secara serius, saya pernah main sukan tenis dan taekwondo, namun semuanya hanya untuk mengisi masa lapang sahaja.
“Tapi sukan lawan pedang ini berbeza. Saya perlu sentiasa tampil cergas dan gunakan fikiran dengan baik ketika berlawan dan itu merupakan satu kepuasan kepada saya,” katanya kepada Media Selangor.

Lawan pedang merupakan sukan tempur satu lawan satu yang menggunakan senjata bilah, selain menumpukan kepada ketangkasan tangan, kelajuan serta teknik menusuk dan menangkis.
Terdapat tiga jenis senjata utama yang digunakan dalam sukan ini - foil, épée dan sabre - yang mempunyai peraturan dan teknik tersendiri.
Secara umumnya, pemarkahan dikira apabila senjata pemain mengenai sasaran sah pada pihak lawan, yang biasanya dikesan menggunakan sistem elektronik.
Remaja yang memiliki ketinggian 184 sentimeter, sudah melayakkan diri ke beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa, selain menjadi antara atlet sandaran pingat emas bagi kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA), Ogos depan.
Atlet berdarah kacukan Lebanon-Australia dan Cina ini juga berjaya mengumpulkan sebanyak 17 pingat emas, tiga pingat perak dan 15 pingat gangsa bermula dari 2023 hingga tahun lalu.
Semua kejayaan tersebut merupakan hasil usaha dan disiplin tinggi Saif yang menjalani rutin jadual harian yang ketat demi mengimbangi tuntutan akademik dan latihan sukan.

Jalani latihan meskipun bulan puasa
Setiap hari, anak bongsu daripada empat beradik itu memulakan pagi dengan sesi persekolahan di Sunway International School Sunway City dan sebaik pulang, Saif akan menjalani latihan fizikal selama empat jam.
Dia kemudiannya memperuntukan dua hingga tiga jam setiap hari bagi sesi latihan lawan pedang, termasuk bersama jurulatih peribadinya, Andrew Mok Vern-Han pada setiap Sabtu, dengan Jumaat dijadikan sebagai hari rehat.
“Walaupun pada bulan Ramadan, saya tetap menjalani latihan tersebut seperti biasa. Ia bukan alasan kepada saya untuk berehat atau mengurangkan tempoh latihan,” kata atlet tajaan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI ini.
Menjadikan atlet lawan pedang nombor satu dunia dari Jepun, Iimura Kazuki sebagai idola, Saif berkata, antara strategi utamanya untuk memenangi perlawanan adalah kekal tenang dan fokus ketika bertanding.
Jika tekanan menghadapi pertandingan memuncak, dia akan mengambil masa seketika untuk berehat dan mengalih sedikit perhatian dengan berbual bersama rakan-rakan atau keluarga.

Bapanya, Nordin Abdullah menyifatkan Saif sebagai anak yang rajin dan berdedikasi, dengan pujian harus diberikan kepada ibunya yang sentiasa memastikan setiap perkara dalam keadaan sempurna.
Sesuai dengan nama Saif yang bermaksud 'pedang' dalam bahasa Arab, lelaki 49 tahun itu berharap anak bongsunya itu mampu mencipta sejarah mewakili negara dalam Sukan Olimpik pada 2032 yang dijadual berlangsung di Australia.
“Kita mahu pergi sejauh mungkin. Jika ada rezeki, saya berharap Saif dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada 2032. Tidak ramai yang tahu, kita memerlukan latihan antara lapan hingga 10 tahun untuk seseorang atlet itu bersedia.
“Ini adalah program yang besar untuk menjadikan Saif bersedia. Saya harus ucapkan terima kasih kepada ramai pihak, antaranya Majlis Sukan Negeri, Yayasan MBI, Majlis Olimpik Malaysia, Persekutuan Lawan Pedang Malaysia dan semua pihak,” katanya.








