Buli sama ada secara fizikal atau lisan sering meninggalkan trauma mendalam terhadap emosi serta keyakinan diri mangsa.
Dalam sesetengah keadaan, pengalaman tersebut menjadi pencetus kepada perubahan besar dalam kehidupan seseorang terutamanya remaja.
Itulah yang dilalui atlet muay thai Selangor, Arysh Shaddad Ubaidillah apabila pengalaman dibuli sejak di bangku sekolah mendorongnya mencari jalan untuk mempertahankan diri dan membina semula keyakinan.
Remaja 19 tahun itu menyifatkan seni bela diri itu bukan sahaja menjadi medium pertahanan diri, malah membentuk disiplin serta keyakinan.
Usahanya itu membuahkan hasil apabila dia meraih pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.
Kini, dia kembali beraksi untuk mempertahankan kejuaraan apabila Selangor menjadi tuan rumah SUKMA tahun ini.
Perjalanannya dalam sukan itu bukan mudah. Dia pernah tewas pada penyertaan sulung di kejohanan peringkat kebangsaan. Namun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus berlatih secara konsisten.
Arysh yang mula menceburi acara itu pada usia 13 tahun turut menyertai pertandingan hampir setiap bulan bagi memperbaiki kelemahan diri serta meningkatkan tahap prestasi.
“Alhamdulillah, saya sekali lagi mewakili Selangor dengan sasaran untuk mempertahankan emas menerusi latihan intensif lima kali seminggu yang memfokuskan pada taktikal, stamina, dan kekuatan fizikal,” tambahnya.

Sasar emas di SUKMA Selangor
Sementara itu, jurulatih pasukan muay thai Selangor, Ubaidillah Nasri Ab Latif berkata persiapan pasukan telah dimulakan lebih awal menerusi latihan berpusat serta penyertaan atlet dalam kejohanan berkaitan sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.
Dia memaklumkan atlet kini menjalani latihan berpusat sebanyak tiga kali seminggu sebelum latihan ditingkatkan menjelang SUKMA, dengan sasaran pasukan untuk meraih lebih daripada satu pingat emas.
“Perak, Sabah dan Sarawak antara pencabar utama yang dijangka memberi saingan sengit, namun saya yakin dengan persiapan rapi serta sokongan padu daripada semua pihak, Selangor mampu muncul sebagai juara,” katanya.
Lelaki itu turut menekankan kepentingan sokongan ibu bapa serta peruntukan pihak berkepentingan dalam pembangunan atlet, selain menyifatkan muay thai sebagai sukan yang membentuk disiplin dan jati diri, bukan sekadar medan pertandingan.

Seorang lagi atlet, Nur Afifah Zakirah Ahmad Faizal berkata minatnya terhadap sukan itu bermula sejak sekolah rendah selepas melihat perlawanan di kawasan perumahan, sekali gus membuktikan muay thai juga sesuai diceburi golongan wanita.
Walaupun pada awalnya berdepan keraguan ibu bapa, gadis berusia 16 tahun itu berjaya membuktikan kemampuannya menerusi kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan, sebelum membuat persiapan untuk penampilan sulung di SUKMA 2026.
“Sukan Muay Thai bukan sahaja untuk lelaki, ia merupakan seni bela diri yang bukan sahaja membina disiplin dan keyakinan diri malah dapat melengkapkan pengamalnya dengan kemahiran pertahanan diri yang boleh digunakan dalam pelbagai situasi,” ujarnya.
Cabaran utama Afifah adalah membahagikan masa di antara pelajaran dan latihan, namun dorongan berterusan jurulatih serta ibu bapa menjadi sumber motivasi untuk beliau menyasarkan pingat emas.
“Saya berlatih setiap minggu dengan sehari rehat. Ibu bapa juga sentiasa memberi dorongan serta motivasi supaya saya hadir ke setiap sesi latihan secara konsisten. Sokongan mereka banyak membantu saya kekal fokus dan disiplin dalam persiapan menghadapi SUKMA 2026,” tambahnya.
Pada SUKMA 2024, pasukan muay thai Selangor menduduki tempat kelima keseluruhan dengan membawa pulang lima pingat, termasuk pingat emas yang dimenangi Arysh Shaddad dalam kategori 63.5–67 kilogram (kg) lelaki.
Pasukan itu berharap sokongan padu rakyat Selangor dapat menyuntik semangat atlet untuk mengulangi kejayaan dan mengharumkan nama negeri pada SUKMA 2026 sebagai tuan rumah.


