ad
AGENDA

SUKMA Selangor 15-24 Ogos 2026, upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang

22 Jul 2025, 10:19 AM
SUKMA Selangor 15-24 Ogos 2026, upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang
SUKMA Selangor 15-24 Ogos 2026, upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang

Oleh Nur Azyyati Omar

SHAH ALAM, 22 JULAI: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, dengan acara pembukaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan juga memutuskan Para SUKMA diadakan dari 5 hingga 14 September.

"Sebanyak 28 acara sukan wajib dan lima sukan tambahan akan dipertandingkan. Upacara pembukaan berlangsung di SIC manakala upacara penutup akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

"Majlis pelancaran logo, maskot dan tema akan berlangsung pada 15 Ogos ini di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam, bersempena dengan kiraan detik setahun penganjuran kejohanan tersebut," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kejohanan dwitahunan itu di sini, hari ini.

[caption id="attachment_711796" align="aligncenter" width="694"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola SUKMA Selangor 2026 di Shah Alam pada 22 Julai 2025. Foto NAIM ABU BAKAR/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berkata penganjuran SUKMA 2026 melibatkan fasiliti sukan di sembilan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Lebih 10,000 atlet dan pegawai sukan dari 15 negeri, termasuk kontinjen jemputan Brunei Darussalam, dijangka menyertai temasya itu.

Ditanya sama ada pihaknya akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada kontinjen Selangor, Amirudin berkata perkara itu bergantung kepada maklum balas Majlis Sukan Negeri.

"Sebagai tuan rumah, kontinjen Selangor memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kejayaan penganjuran dan pencapaian cemerlang dalam semua acara.

“Sudah tentu mereka perlu bekerja keras untuk mengulangi kejayaan muncul juara keseluruhan seperti pada 2006, 2013 dan 2016. Selangor juga konsisten berada dalam kelompok lima terbaik sebelum ini," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.