SHAH ALAM, 4 APRIL: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor dilihat lebih wajar diteruskan sekiranya penangguhan berpotensi meningkatkan kos pelaksanaan temasya berkenaan.
EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan berkaitan SUKMA perlu diteliti secara menyeluruh termasuk implikasi kewangan serta kesiapsiagaan penganjuran.
"Antara yang dibincangkan adalah penilaian kos serta cadangan penangguhan yang dibangkitkan sebelum ini.
"Besar kemungkinan jika ditangguhkan, kos untuk melaksanakan semula temasya itu akan menjadi lebih tinggi, apatah lagi persiapan telah dilakukan dan tempoh pelaksanaan hanya berbaki kira-kira tiga bulan," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Santunan Aidilfitri EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan ADN Kota Anggerik di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari semalam bagi menilai status semasa penganjuran, termasuk aspek kos, logistik serta keperluan penambahbaikan menjelang temasya berkenaan.
Menurutnya, keputusan berhubung penganjuran SUKMA tidak boleh dibuat di peringkat negeri sahaja, sebaliknya perlu mendapat pertimbangan dan kelulusan di peringkat Persekutuan.
"Jika penangguhan menyebabkan peningkatan kos, maka lebih baik penganjuran diteruskan seperti perancangan asal.
"Perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan pada 11 April ini untuk perbincangan lanjut," ujar beliau.
SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA dari 15 hingga 20 September 2026.











