Delegasi SUKMA Selangor 2026 teruskan tradisi kunjungan hormat, Sarawak negeri kedua

7 Jan 2026, 8:31 AM
Delegasi SUKMA Selangor 2026 teruskan tradisi kunjungan hormat, Sarawak negeri kedua
Delegasi SUKMA Selangor 2026 teruskan tradisi kunjungan hormat, Sarawak negeri kedua

SHAH ALAM, 7 JAN: Delegasi Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 meneruskan kunjungan hormat sempena penganjuran temasya berkenaan dengan memilih Sarawak sebagai negeri kedua hari ini.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata kunjungan menjadi tradisi yang perlu dilakukan negeri tuan rumah bagi menjemput kerajaan negeri lain menyertai acara dwitahunan itu.

“Saya menyampaikan jemputan rasmi kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk menyertai SUKMA Selangor 2026.

“Beliau turut diberi penghormatan menyalakan obor SUKMA XXII yang akan diarak ke semua daerah seluruh Selangor bermula April ini,” katanya menerusi Facebook

Kunjungan berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA 2026 Dato' Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.

Semalam, delegasi sekretariat memulakan kunjungan dengan Sabah menjadi negeri pertama.

Jemputan diserahkan kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Minggu lalu, Najwan berkata persiapan penganjuran SUKMA mencapai tahap 85 peratus, dengan pendaftaran rasmi kontinjen dijadualkan dibuka bermula bulan depan.

Kesiapsiagaan itu melibatkan persediaan venue pertandingan, sistem pengurusan kejohanan serta penyediaan peralatan utama bagi memastikan penganjuran temasya sukan dwitahunan itu berjalan lancar dan teratur.