SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan terhadap kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan SKC Bukit Timah, Bukit Beruntung.
Operasi itu menyaksikan kompaun dikeluarkan terhadap pihak yang membuang sampah secara haram di atas tanah kerajaan.
Menurut MPHS menerusi Facebook, notis arahan pembersihan turut dikeluarkan kepada pihak bertanggungjawab supaya kawasan berkenaan dibersihkan dalam tempoh 14 hari.
“Operasi tersebut dijalankan bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram, khususnya di atas tanah kerajaan, selain memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan menerusi kerjasama strategik antara agensi berkaitan.
“MPHS tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pembuangan sampah haram,” menurut kenyataan itu.
Operasi membabitkan Bahagian Inspektorat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), Jabatan Penguatkuasa MPHS serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dengan kerjasama MPS.









