HULU SELANGOR, 24 NOV: Projek perintis teknologi digital yang dilaksana Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berjaya menyelesaikan masalah tanah runtuh di Pangsapuri Kenanga, Bukit Beruntung.
Projek pembaikan cerun yang dilaksanakan dengan kerjasama IKRAM Engineering Services Sdn. Bhd. itu mengutamakan aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk selain memperkenalkan pendekatan baharu dalam pengurusan projek infrastruktur menerusi integrasi teknologi digital.
Projek tersebut dijalankan susulan kejadian tanah runtuh pada 22 April 2025 di kawasan pangsapuri melibatkan kegagalan cerun dengan ketinggian kira-kira 14 meter dan kelebaran sekitar 40 meter.
MPHS menerusi hantaran di media sosial, memaklumkan bahawa projek berkenaan menggabungkan tiga teknologi utama iaitu Building Information Modeling (BIM), Geographic Information System (GIS) dan Digital Twin bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta pengurusan infrastruktur.
Lebih membanggakan, projek itu berjaya memenuhi sembilan hasil utama projek, termasuk disiapkan lebih awal daripada tempoh kontrak, penjimatan kos, sifar kecacatan utama dan sifar kecederaan yang menyebabkan kehilangan masa bekerja.
Projek berkenaan turut menghasilkan model Digital Twin pada tahap LOD 500 yang diserahkan kepada MPHS sebagai pangkalan maklumat bagi membantu pemantauan, pengurusan aset dan penyelenggaraan infrastruktur pada masa hadapan.
Yang Dipertua MPHS, Julaihah Jamaludin berkata, penyiapan projek itu bukan sekadar pencapaian dalam bidang kejuruteraan, sebaliknya usaha penting memulihkan kawasan yang pernah terjejas akibat kejadian tanah runtuh.
Beliau turut mengingatkan kepentingan pemantauan dan penyelenggaraan cerun serta sistem saliran secara berterusan bagi memastikan keselamatan kawasan kediaman sentiasa terpelihara.
Menurut MPHS, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Selangor Digital Future Action Plan (DxF) 2026–2030 bagi merealisasikan Negeri Pintar menjelang 2030.









