SHAH ALAM, 12 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berperingkat terhadap lima menara telekomunikasi yang dibina tanpa kebenaran di kawasan pentadbirannya.
MPHS menerusi Facebook memaklumkan operasi dari 13 Oktober hingga 3 November lalu itu membabitkan lima lokasi di Kuala Kubu Bharu, Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.
Menurutnya, operasi berkenaan diketuai Jabatan Bangunan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MPHS serta beberapa agensi dan syarikat berkaitan.
Antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Yakin Telesel Sdn Bhd (YTSB), Edotco Malaysia Sdn Bhd, Omnix (M) Sdn Bhd dan OSI Technology.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan kegagalan pemilik struktur mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak Majlis serta mematuhi arahan notis yang telah dikeluarkan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” menurut kenyataan MPHS.
Hasil tindakan penguatkuasaan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan, pemilik terbabit telah membuka sepenuhnya struktur menara telekomunikasi di kelima-lima lokasi berkenaan.
MPHS menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan setiap pembinaan dan pemasangan struktur telekomunikasi di kawasan pentadbirannya mematuhi undang-undang serta mendapat kebenaran dan kelulusan sewajarnya.








