MPHS hapus 1,930 gagak, kawal risiko penyakit, gangguan awam

24 Nov 2026, 7:30 AM
MPHS hapus 1,930 gagak, kawal risiko penyakit, gangguan awam
MPHS hapus 1,930 gagak, kawal risiko penyakit, gangguan awam
MPHS hapus 1,930 gagak, kawal risiko penyakit, gangguan awam

SHAH ALAM, 24 NOV: Sebanyak 1,930 ekor burung gagak dihapuskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi Operasi Menembak Gagak Siri 2/2026 di daerah berkenaan, baru-baru ini.

Operasi disertai 14 penembak berdaftar dan berlesen itu bertujuan mengawal populasi burung gagak yang mengganggu keselesaan penduduk serta kebersihan persekitaran.

MPHS memaklumkan usaha proaktif itu turut bertujuan memelihara kesejahteraan komuniti setempat, termasuk daripada risiko penyebaran penyakit.

“Antara tujuan operasi ini adalah untuk mengurangkan gangguan bunyi bising, mengelakkan kerosakan harta benda awam serta membendung risiko penyebaran penyakit zoonotik yang boleh menjejaskan tahap kesihatan penduduk,” menurut kenyataan di Facebook.

Majlis perasmian operasi disempurnakan Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin.

Operasi itu turut mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang aktiviti dijalankan.

Sementara itu, MPHS menegaskan usaha mengawal populasi burung gagak tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.

Sebaliknya, usaha berkenaan memerlukan kesedaran serta penglibatan aktif masyarakat setempat.

Sehubungan itu, penduduk diseru mengamalkan pengurusan sisa pepejal secara teratur, termasuk memastikan tong sampah sentiasa bertutup rapat.

Orang ramai juga diminta tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan kewujudan sumber makanan burung gagak.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.