Tat Bengkulu diangkat sebagai makanan warisan, resipi tradisional bakal didokumentasikan

29 Nov 2026, 12:00 AM
Tat Bengkulu diangkat sebagai makanan warisan, resipi tradisional bakal didokumentasikan
Tat Bengkulu diangkat sebagai makanan warisan, resipi tradisional bakal didokumentasikan

KUALA KUBU BHARU, 29 NOV: Resipi dan teknik pembuatan tradisional Tat Bengkulu bakal didokumentasikan bagi memastikan khazanah makanan warisan Selangor itu terus terpelihara serta diwarisi generasi muda.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata usaha berkenaan akan dilaksanakan bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), termasuk menerusi program demonstrasi serta pemindahan ilmu dan kemahiran.

"Usaha memartabatkan makanan warisan tidak seharusnya terhenti setakat pengisytiharan dan pewartaan semata-mata.

"Pengiktirafan ini sebaliknya perlu menjadi titik permulaan kepada usaha pemuliharaan dan pengembangan warisan yang lebih tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Makanan Warisan Selangor 2026 di Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu, di sini.

Borhan berkata, usaha mengangkat Tat Bengkulu sebagai makanan warisan Selangor sudah dirintis sejak 2021.

"Cadangan itu dikemukakan oleh Saifuddin Shafi Muhammad yang ketika itu merupakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali," ujarnya.

Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan PADAT bagi merealisasikan cadangan berkenaan, termasuk penyelidikan, kajian lapangan, pendokumentasian serta sesi libat urus bersama penggiat, pengusaha dan komuniti masyarakat Bengkulu.

Menurutnya, sesi perbincangan kumpulan fokus pada 24 Ogos lalu turut menghimpunkan ahli akademik, pakar gastronomi, pakar perundangan serta pengusaha Tat Bengkulu bagi meneliti nilai sejarah, identiti budaya dan ciri warisan kuih tradisional itu.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja diberikan kepada Tat Bengkulu sebagai suatu khazanah makanan warisan, malah merupakan penghargaan kepada masyarakat berketurunan Bangkahulu di Selangor yang selama ini terus mempertahankan tradisi dan kemahiran pembuatannya," katanya.

Dalam pada itu, Borhan berkata Kerajaan Negeri menerusi PADAT akan terus mempergiat usaha mengenal pasti dan menyelidik makanan tradisional lain yang berpotensi diangkat sebagai makanan warisan Selangor.

"Kita mahu setiap daerah diberikan ruang dan peluang untuk memperkenalkan khazanah warisan masing-masing.

"Saya percaya masih banyak makanan tradisional di Selangor yang mempunyai nilai sejarah dan budaya tersendiri, namun belum dikenali secara meluas oleh masyarakat," katanya.

Terdahulu, Festival Makanan Warisan Selangor yang memasuki tahun kelima penganjurannya turut menawarkan pelbagai juadah tradisional secara percuma kepada pengunjung dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

Festival yang menarik hampir 10,000 pengunjung itu turut meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyediaan 12,000 ketul kuih Tat Bengkulu yang habis diedarkan lebih awal kepada pengunjung.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.