Tat Bengkulu sasar rekod edaran terbanyak Malaysia Book of Records

29 Sep 2026, 6:00 AM
Tat Bengkulu sasar rekod edaran terbanyak Malaysia Book of Records
Tat Bengkulu sasar rekod edaran terbanyak Malaysia Book of Records
Tat Bengkulu sasar rekod edaran terbanyak Malaysia Book of Records

SHAH ALAM, 29 SEPT: Festival Makanan Warisan Selangor 2026 bakal menyaksikan percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records menerusi kategori ‘Edaran Kuih Tat Bengkulu Terbanyak’.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata kuih tradisional berkenaan dipilih sebagai makanan warisan utama yang akan diketengahkan pada festival kali kelima itu.

Menurutnya, Tat Bengkulu turut bakal diangkat sebagai Makanan Warisan Selangor sebagai sebahagian usaha memastikan khazanah makanan tradisional negeri terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu.

“Tahun ini, Kuih Tat Bengkulu akan diketengahkan sebagai makanan warisan utama, termasuk usaha mengisytiharkannya sebagai Makanan Warisan Selangor.

“Kita juga menyasarkan percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records menerusi kategori ‘Edaran Kuih Tat Bengkulu Terbanyak’ sebagai sebahagian usaha memperkenalkan warisan makanan Selangor kepada khalayak lebih luas,” katanya menerusi Facebook.

Borhan berkata Hulu Selangor dipilih sebagai tuan rumah penganjuran festival tahun ini yang kini memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022.

Beliau berkata persediaan festival turut diperincikan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Festival Makanan Warisan Selangor 2026 bagi memastikan gerak kerja jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan terlibat dapat diselaraskan dengan baik.

Festival berkenaan merupakan antara inisiatif tahunan Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan makanan warisan Selangor, selain memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai nilai budaya dan sejarah di sebalik makanan tradisional.

Sebelum ini, Nasi Ambeng diwartakan sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor pada 2022 manakala Sate Kajang menerima pengiktirafan sama pada 2025.

Penganjuran terdahulu turut mencatat rekod Malaysia Book of Records, termasuk 2,022 hidangan Nasi Ambeng pada 2022 dan 100,000 cucuk Sate Kajang pada tahun berikutnya.

Borhan berharap festival itu terus menjadi wadah mengangkat khazanah makanan warisan Selangor supaya kekal dikenali, dihargai dan diwarisi generasi akan datang.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.