KUALA SELANGOR, 1 NOV: Festival Makanan Warisan Selangor 2025 sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan itu diberikan hasil kejayaan mengedarkan 4,921 lempeng sagu biji mata ikan serta membina formasi Rumah Api Kuala Selangor setinggi 25 meter menggunakan 55,000 keping kuih Beppa Pute.
Sijil pengiktirafan disampaikan Pegawai Rasmi MBOR, Megat Faris Megat Muzaffar Shah kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah.
Lempeng sagu biji mata ikan, makanan warisan Bugis yang popular sekitar tahun 1950-an di Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat, sering menjadi hidangan ketika sarapan atau minum petang.
Hampir 10,000 pengunjung hadir menikmati dua jenis lempeng istimewa itu dengan satu dihidang bersama gula merah cair dan satu lagi berintikan sambal bilis.

Kuih Beppa Pute yang diperbuat daripada tepung pulut, kelapa parut dan gula turut mencuri perhatian apabila dibentuk menjadi Formasi Rumah Api Kuala Selangor, ikon pelancongan terkenal negeri ini.
Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan hadiah Pavilion Terbaik kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat yang dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM1,500.
Naib johan dimenangi Majlis Bandaraya Subang Jaya (RM1,000) manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya di tempat ketiga (RM800).
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, bertemakan Teratak Haji Zahri, pavilion mereka menyajikan lempeng jagung bersama sambal kering kepada pengunjung.
“Menerusi tema ini, kita bawa konsep penduduk kampung yang mempunyai penghulu, opah yang menggunakan nama-nama orang lama.
“MBPJ berharap penganjuran festival warisan ini dapat memartabatkan makanan tradisional sekali gus mengimbau kembali zaman dahulu,” katanya.

Bagi, penjawat awam Naqiuddin Mansor, 38, beliau sanggup mengambil cuti hujung minggu untuk membawa keluarga merasai pengalaman unik di festival tersebut.
“Saya tahu program ini menerusi Facebook dan tertarik untuk mencuba pelbagai makanan tradisional yang dihidangkan termasuk lempeng sagu biji mata ikan,” ujarnya.
Suri rumah, Nor Shamimi Ismail, 33, berkata kehadirannya ke festival itu memang khusus untuk mencuba lempeng sagu biji mata ikan.
“Saya memang tak pernah rasa lempeng ini dan memang sedap. Selain itu, saya juga berpeluang merasai suasana klasik.
“Saya cadang festival ini diperluaskan di daerah-daerah lain supaya dapat imbau kembali nostalgia zaman dahulu,” katanya.
Untuk rekod, edisi pertama festival di Bagan Lalang pada 2022 turut diiktiraf MBOR dengan 2,022 hidangan Nasi Ambeng, diikuti 100,000 cucuk Sate Kajang (2023) dan 2,954 hidangan punten (2024).






