KUALA SELANGOR, 28 NOV: Karnival Wira Air perlu diperluas ke seluruh Selangor bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara sumber air dan mengelakkan pembaziran.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran program itu tidak seharusnya terhad kepada acara sehari, sebaliknya perlu menjadi inisiatif berterusan bagi membentuk budaya menghargai air dalam kalangan masyarakat.
“Dan ini kita perlukan bukan pada hari ini tetapi program yang berterusan dan sampai di semua negeri Selangor,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Wira Air Peringkat Negeri Selangor di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata tanggungjawab memelihara sumber air bukan hanya terletak pada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sebaliknya perlu dipikul bersama seluruh masyarakat.
Menurutnya, dua perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah memastikan sungai bebas daripada pencemaran sampah, minyak dan sisa buangan serta mengelakkan pembaziran air terawat dalam kehidupan harian.
Beliau turut menggalakkan pelajar menjadi ejen perubahan dengan memulakan amalan penjimatan air daripada diri sendiri sebelum mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan melakukan perkara sama.
“Mulakan dengan diri kita, ajak keluarga kita, ajak rakan-rakan kita, barulah kita akan menjadi Wira Air ataupun menjadi orang yang menjaga air kerana wira itulah yang akan menjaga kehidupan kita bersama,” katanya.

Amirudin berkata kesedaran mengenai kepentingan memelihara sumber air semakin penting berikutan perubahan iklim yang menyebabkan negara berdepan keadaan cuaca ekstrem termasuk fenomena El Niño, hujan lebat dan banjir.
Katanya, air merupakan nadi kehidupan serta harta bersama yang perlu dihargai dan dipelihara bagi memastikan sumber berkenaan terus mencukupi untuk kegunaan generasi akan datang.







