Karnival Wira Air sasar lahir generasi jimat air

24 Nov 2026, 12:40 AM
Karnival Wira Air sasar lahir generasi jimat air

SHAH ALAM, 24 NOV: Air Selangor menyasarkan pembentukan generasi Wira Air yang memahami kepentingan pemuliharaan sumber air serta mampu menggalakkan amalan penjimatan air dalam keluarga dan komuniti menerusi Karnival Wira Air 2026.

Inisiatif sulung yang dijadual berlangsung pada 28 November 2026 itu memberi tumpuan kepada pelajar dan sekolah sebagai platform memupuk kesedaran serta membentuk tabiat penggunaan air secara bertanggungjawab sejak usia muda.

Ini merupakan salah satu langkah yang dijalankan oleh Air Selangor untuk terus menyokong sasaran penggunaan air domestik iaitu 180 liter per kapita sehari (LCD) yang ditetapkan oleh kerajaan melalui SPAN. 

Menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pula, kadar LCD di Selangor terbaru adalah 240, jauh lebih tinggi daripada sasaran nasional. 

"Sebagai penyedia perkhidmatan air, peranan Air Selangor bukan sekadar membekalkan air. Kami juga mahu menggalakkan pengguna memahami nilai air dan menggunakannya secara bertanggungjawab," kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali kepada Media Selangor. 

Tambahnya, sekolah menjadi landasan penting untuk membentuk pengetahuan, amalan dan nilai berkaitan penggunaan air sejak usia muda, manakala pelajar berpotensi menjadi agen perubahan dengan membawa ilmu yang diperoleh kepada keluarga dan komuniti.

Jika sebelum ini program kesedaran penjimatan oleh Air Selangor hanya tertumpu kepada satu-satu sekolah, skop ini diperluas dengan penganjuran karnival seperti ini yang dapat menghimpunkan lebih banyak sekolah dalam daerah yang sama.

Menerusi kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, karnival itu turut menjadi platform untuk memperluas mesej penjimatan air kepada sekolah yang mengambil bahagian di daerah berkenaan.

Amalan penjimatan boleh dimulakan dengan tindakan mudah seperti mengelakkan penggunaan air yang tidak diperlukan serta mengenal pasti punca pembaziran dalam kehidupan seharian.

"Kejayaan Karnival Wira Air bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pengunjung yang menghadiri program ini. Kejayaan sebenar adalah berdasarkan perubahan amalan peserta selepas mereka meninggalkan karnival," katanya.

Bagi memastikan mesej itu lebih mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian, karnival berkenaan menggunakan pendekatan pembelajaran interaktif serta berasaskan pengalaman.

"Kami mahu orang ramai mempelajari penjimatan air bukan sekadar dengan mendengar, tetapi dengan melihat, mencuba dan mengalaminya sendiri," kata Adam lagi.

Pendekatan itu diterapkan menerusi gabungan elemen pendidikan, inovasi, aktiviti fizikal, pameran interaktif dan penglibatan komuniti, selain menghimpunkan sekolah, agensi kerajaan, rakan strategik serta pempamer bagi menggalakkan penggunaan air secara bertanggungjawab.

Komitmen bersama

Menurut Adam lagi, usaha memastikan kelestarian sumber air memerlukan komitmen semua pihak dan tidak boleh bergantung kepada penambahbaikan infrastruktur serta operasi pengendali perkhidmatan air semata-mata.

Sebaliknya, usaha itu perlu disokong dengan perubahan amalan di peringkat pengguna, termasuk mengelakkan pembaziran dan menggunakan air secara lebih cekap.

"Setiap titisan air terawat mempunyai nilainya tersendiri dan setiap individu memainkan peranan untuk menggunakannya secara berhemah,” katanya.

Karnival Wira Air adalah inisiatif terbaru Air Selangor untuk memupuk kesedaran penggunaan air secara lestari. Terdahulu, syarikat juga bekerjasama dengan Universiti Malaya bagi menerbitkan Buku Panduan Air yang memuatkan pelbagai fakta, maklumat sumber air serta kaedah pemuliharaan bagi menyemai amalan penggunaan air secara berhemah dalam masyarakat. 

Selain itu, program penggunaan air turut dilaksanakan menerusi pemasangan pili cekap air di masjid sekitar Selangor bagi mengurangkan pembaziran. 

Dalam usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) pula, ciri Report Leaks menerusi aplikasi Air Selangor turut diperkenalkan bagi membolehkan pengguna melaporkan kebocoran dan paip pecah, kebocoran meter serta kegiatan penyambungan paip yang disyaki dilakukan secara haram. 

Aplikasi itu turut dilengkapi ciri penggunaan air per kapita sehari (LCD) yang membolehkan pengguna memantau penggunaan isi rumah, membandingkannya dengan kadar disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu 180 liter per kapita sehari, serta mendapatkan tip penjimatan berdasarkan maklumat isi rumah.

Malah, Air Selangor turut menjalinkan kerjasama dengan siri animasi popular BoBoiBoy bagi meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai kepentingan pemuliharaan air dan memupuk amalan penggunaan air secara lestari dengan pendekatan lebih menarik dan mudah difahami dalam kalangan kanak-kanak. 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.