Sultan Selangor titah contohi Sarawak perkasa industri kraf tangan

28 Nov 2026, 8:52 AM
Sultan Selangor titah contohi Sarawak perkasa industri kraf tangan
Sultan Selangor titah contohi Sarawak perkasa industri kraf tangan

SHAH ALAM, 28 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar Selangor serta negeri-negeri lain mencontohi negeri Sarawak dengan mengambil pendekatan menyediakan platform kepada penggiat seni kraf tangan tempatan untuk mengetengahkan hasil tangan masing-masing.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan Kerajaan Sarawak atas usaha memelihara seni kraf tradisional sambil memperluas pasarannya selepas berkenan menghadiri Borneo Craft Global Expo and Conference (BCG 2.0) di Tebingan Kuching, Sarawak.

“Apabila hasil tangan pengkraf mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, kemahiran yang mereka warisi dapat terus menjadi sumber pendapatan.

“Pada masa yang sama, generasi muda mempunyai lebih banyak peluang untuk berguru dengan pengkraf berpengalaman dan meneruskan tradisi keluarga serta komuniti mereka,” menurut hantaran itu.

Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran ekspo yang menggabungkan jualan, demonstrasi dan bengkel mampu memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali pembuat, melihat sendiri ketelitian proses penghasilan, sekali gus memberikan pemahaman terhadap nilai budaya di sebalik setiap karya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat hasil seni kraf manik tradisional Sarawak ketika mengunjungi Borneo Craft Global Expo and Conference (BCG 2.0) di Tebingan Kuching, Sarawak pada 27 November 2026. Foto Facebook Selangor Royal

“Pertemuan dengan pembeli dan penggiat industri dari dalam dan luar negara pula membuka ruang kepada pengkraf untuk membina jaringan perniagaan dan memperkenalkan hasil mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Dengan adanya ruang untuk belajar, berkarya dan mencari rezeki daripada kemahiran yang diwarisi, generasi muda dapat meneruskan seni kraf tradisional sebagai sebahagian daripada kehidupan dan identiti mereka,” menurut hantaran itu.

Keberangkatan baginda pada BCG 2.0 semalam diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Menurut hantaran itu, Sultan Sharafuddin yang berminat dengan produk kraf dari Bumi Kenyalang amat tertarik dengan kepelbagaian hasil kraf yang dipamerkan dan kagum melihat mutu serta kehalusan kerja tangan pengkraf Sarawak.

Antara kraf ikonik yang ditampilkan ialah pua kumbu, tenunan ikat masyarakat Iban yang sarat dengan makna budaya, serta keringkam, seni sulaman tradisional masyarakat Melayu Sarawak yang menyerlah dengan kilauan benang emas atau perak.

Pameran itu turut mengetengahkan songket Sarawak, seni manik, anyaman bakul dan seramik.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.