Sultan Selangor tegur kutipan dana umat Islam tanpa lantikan pihak berautoriti

10 Nov 2026, 5:41 AM
Sultan Selangor tegur kutipan dana umat Islam tanpa lantikan pihak berautoriti
Sultan Selangor tegur kutipan dana umat Islam tanpa lantikan pihak berautoriti
Sultan Selangor tegur kutipan dana umat Islam tanpa lantikan pihak berautoriti

SHAH ALAM, 10 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap kegiatan syarikat, institusi, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kutipan atau mengurus harta umat Islam tanpa pelantikan sah daripada pihak berautoriti.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, kegiatan membabitkan kutipan infak, sumbangan dan fidyah itu bukan sahaja menimbulkan persoalan dari aspek tadbir urus, malah berisiko berlakunya penyelewengan dana yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan umat Islam.

“Beta amat sedih kerana terdapat sebahagian daripada pihak-pihak ini terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip dan menggunakan dana itu bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Perkara ini amat memalukan dan sangat merugikan umat Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian menerusi satu kenyataan bersempena Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 yang mewakili baginda Sultan selain turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkenan melawat reruai selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Nusantara di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menerusi kenyataan sama, baginda bertitah, terdapat sebahagian besar pihak yang menjalankan kutipan harta umat Islam tidak dilantik secara sah oleh pihak berautoriti seperti MAIS dan Majlis Agama Islam negeri-negeri.

Justeru, Sultan Sharafuddin menegaskan masyarakat Islam perlu memastikan setiap dana ini disalurkan kepada pihak berautoriti atau pihak yang mendapat kebenaran sah daripada pihak berkuasa agama negeri.

“Beta ingin menegaskan bahawa di Malaysia, Majlis Agama Islam negeri-negeri adalah pihak berautoriti dan pemegang amanah tunggal bagi Baitulmal di negeri masing-masing.

“MAIS sebagai pemegang amanah dana umat Islam perlu memastikan pengurusan harta Baitulmal dilaksana secara telus, cekap dan profesional serta mematuhi hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah tadbir urus Baitulmal perlu sentiasa berada pada tahap tinggi bagi memastikan dana umat Islam diurus, diagih, dikembang dan dimanfaatkan demi kepentingan umat Islam.

Baginda turut menyeru agar peranan Baitulmal diperkasa bukan sekadar sebagai institusi yang mengutip harta umat, sebaliknya menjadi institusi yang mampu membangunkan kekayaan umat Islam.

Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 bertemakan ”Memperkasa Amanah, Membangun Kekayaan, Memakmur Ummah” julung kali dianjurkan di Selangor berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Konvensyen itu menjadi platform strategik menghimpunkan ahli akademik, penggubal dasar dan pengamal industri bagi membincangkan perkembangan, cabaran serta peluang dalam memperkukuh institusi Baitulmal dan pengurusan harta Islam di rantau ini.

Peserta yang hadir pada Konvensyen Baitulmal Nusantara di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ia menghimpunkan 400 peserta termasuk pembentang dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand, sekali gus mencerminkan kepentingan kerjasama rentas negara dalam memperkasa ekosistem pengurusan harta Islam.

Sepanjang tiga hari, sebanyak 23 pembentangan oleh pakar serantau membincangkan isu pengurusan harta pusaka, wasiat, hibah, wakaf dan zakat, meliputi aspek syarak, perundangan, tadbir urus, kewangan serta ekonomi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.