19 individu terima darjah kebesaran Sultan Selangor sempena Jubli Perak

7 Nov 2026, 4:39 AM
19 individu terima darjah kebesaran Sultan Selangor sempena Jubli Perak
19 individu terima darjah kebesaran Sultan Selangor sempena Jubli Perak
19 individu terima darjah kebesaran Sultan Selangor sempena Jubli Perak
19 individu terima darjah kebesaran Sultan Selangor sempena Jubli Perak

KLANG, 7 NOV: Seramai 19 individu menerima pengiktirafan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, hari ini.

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) kepada Panglima Briged Kesebelas Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Safwan @ Asri Ismail yang mengetuai senarai lapan penerima darjah berkenaan.

Turut menerima darjah sama ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar; Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Musa Dr Najhan Md Said; bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 7 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Penerima lain ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad; Penasihat Undang-undang Kumpulan YTL Corporation Berhad, Datin Seri Kathleen Che Wai Lin serta pengasas, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Limited, Anthony Tan Ping Yeow.

Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.S.S) pula dikurniakan kepada enam penerima, termasuk Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat, Tengku Rohana Tengku Nawawi; Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Shukri Ishak dan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Dato’ Sri Dr Irmohizan Ibrahim.

Turut menerima darjah sama ialah Presiden Malaysia Branch of The Royal Asiatic Society, Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Malaysia Resources Corporation Berhad, Ann Wan Tie.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan darjah kebesaran ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 7 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor kepada Pegawai Memerintah Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Bentong, Leftenan Kolonel Anwar Saaharatol Mat Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, NE Stella Jeevani.

Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah pula dikurniakan kepada Ketua Perisikan Siber, Kolonel Mohd Azlizan Uda; Tentera Darat Malaysia, Leftenan Kolonel Ts Dr Wong Wai Loong dan Leftenan Kolonel Mohd Khairi Mohd Yussoff.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah itu turut menyaksikan keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Dalam perkembangan sama, Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor turut berlangsung sebagai sebahagian daripada sambutan berkenaan.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 7 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Istiadat itu membabitkan Orang Besar Istana Engku Sri Paduka Diraja, Raja Dato’ Reza Alhaj Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj; Tengku Orang Kaya Menteri Diraja, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Alhaj serta Dato’ Diraja Selangor, Dato’ Sri Maharaja Diraja, Dato’ Dr Aljafri Tan Sri Abdul Majid.

Ketiga-tiga individu berkenaan sebelum ini melafazkan ikrar taat setia dan menjunjung duli kepada Sultan Selangor pada 25 Oktober lalu, dalam istiadat yang diamalkan sejak era Raja Lumu.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamed serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.