Sultan Selangor kagum khazanah tekstil Melayu di Muzium Merdeka

18 Nov 2026, 12:00 PM
Sultan Selangor kagum khazanah tekstil Melayu di Muzium Merdeka
Sultan Selangor kagum khazanah tekstil Melayu di Muzium Merdeka
Sultan Selangor kagum khazanah tekstil Melayu di Muzium Merdeka
Sultan Selangor kagum khazanah tekstil Melayu di Muzium Merdeka
Sultan Selangor kagum khazanah tekstil Melayu di Muzium Merdeka

SHAH ALAM, 18 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa kagum terhadap khazanah tekstil Melayu dan Nusantara yang dipamerkan di Muzium Tekstil Merdeka, Kuala Lumpur.

Baginda bertitah, muzium berkenaan memainkan peranan penting dalam mengangkat sejarah, seni pertukangan dan kehalusan tekstil tradisional yang menjadi lambang warisan masyarakat Melayu.

“Beta amat kagum dengan penubuhan Muzium Tekstil Merdeka ini dan peranannya sebagai medium mengangkat kembali sejarah dan ketelitian tekstil di dunia Melayu dan Nusantara,” titah Baginda.

Demikian menurut hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meneliti sehelai kain tradisional yang dipamerkan ketika lawatan ke Muzium Tekstil Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 November 2026. Foto Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin berkenan berangkat melawat muzium di Presint Merdeka 118 itu semalam, diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sepanjang lawatan hampir dua jam itu, Baginda turut tertarik dengan mutu kuratorial, khususnya cara koleksi tekstil dipersembahkan bagi memperlihatkan sejarah, budaya dan identiti masyarakat Melayu serta Nusantara.

Antara yang mendapat perhatian Baginda ialah koleksi peribadi budayawan Allahyarhamah Azah Aziz, merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional, termasuk sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas.

Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ketika mengikuti penerangan mengenai koleksi warisan tekstil Melayu dan Nusantara di Muzium Tekstil Merdeka. Foto Facebook Selangor Royal Office.

Muzium Tekstil Merdeka yang dilancarkan pada 21 Ogos lalu terletak di bangunan Look at 118, bersebelahan Stadium Merdeka.

Dibangunkan PNB Merdeka Ventures, muzium bertemakan ‘The Malay World in Threads and Tales’ itu mengetengahkan perkembangan tekstil Alam Melayu melalui seni pertukangan, simbolisme, kerohanian dan kesusasteraan.

Dalam pada itu, Baginda berharap agar muzium tekstil seumpamanya dapat diwujudkan di Selangor.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama barisan tetamu serta wakil pengurusan Muzium Tekstil Merdeka sempena lawatan ke muzium berkenaan. Foto Facebook Selangor Royal Office.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 memaklumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan Muzium Tekstil Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan Muzium Tekstil Negeri Selangor di Bangunan Anggerik, Seksyen 14, Shah Alam, bersebelahan Muzium Sultan Alam Shah.

“Projek naik taraf bangunan enam tingkat ini melibatkan kos keseluruhan RM60 juta, dengan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi tahun 2027 untuk kerja-kerja awalan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.