SABAK BERNAM, 8 OGOS: Proses mewartakan punten dan tat Bengkulu sebagai makanan warisan Selangor mengambil masa berikutan kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan kedua-dua juadah itu benar-benar mempunyai identiti negeri ini.
EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, penelitian itu penting bagi memastikan makanan yang diwartakan sebagai warisan Selangor mempunyai asal-usul dan identiti yang jelas, sekali gus mengelakkan pertikaian dengan negeri lain.
Katanya, selain punten dan tat Bengkulu dari Hulu Selangor, beberapa lagi makanan tradisional turut dikenal pasti untuk dikaji bagi tujuan sama, termasuk sambal tahun, beppa pute dan burasak bersama rendang.
“Sekarang ini kita dalam kajian yang telah dibengkelkan seperti punten, kemudian kuih tat Bengkulu yang berada di Hulu Selangor. Yang kita akan wartakan setakat ini sate Kajang dan nasi ambeng.
“Ini semua usaha kita nak bawa supaya identiti Selangor tidak pupus dan menjadi tatapan generasi yang akan datang bahawa mereka mempunyai satu identiti kaum dan suku masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis peringkat daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, di sini hari ini.

Menurut Borhan, proses kajian perlu dilakukan secara menyeluruh kerana sesebuah makanan mungkin turut mempunyai versi atau sejarah yang dikaitkan dengan negeri lain.
“Kajian ini mesti menyeluruh dan kita pastikan bahawa identiti memang asal betul-betul Selangor. Kita tidak mahu nanti apabila kita wartakan ada negeri lain ataupun mana-mana telah mengatakan bahawa itu adalah identiti mereka.
“Contohnya, yang lepas kita buat nasi ambeng, Johor pun ada nasi ambeng tetapi setelah kita buat kajian dan dibengkelkan bahawa memang Selangor mempunyai identiti nasi ambeng dia sendiri termasuk juga kuda kepang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengenal pasti dan memelihara makanan warisan itu tidak terhad kepada juadah masyarakat Melayu, sebaliknya turut merangkumi makanan tradisional masyarakat Cina, India dan Orang Asli.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat di Selangor terus dipelihara serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Sebelum ini, Borhan memaklumkan beberapa makanan tradisional terkenal di Selangor akan menyusul selepas sate Kajang dan nasi ambeng untuk diangkat sebagai makanan warisan negeri.
Antaranya termasuk punten, tat Bengkulu, sambal tahun, kuih tradisional beppa pute serta burasak bersama rendang.
Pada Ogos tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mengisytiharkan sate Kajang sebagai makanan warisan negeri.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pula mengisytihar dan mewartakan nasi ambeng, menu tradisi masyarakat Jawa, sebagai makanan warisan Selangor pada November 2022.
Dalam pada itu, Borhan berkata festival makanan warisan akan diteruskan tahun ini di Sabak Bernam atau Hulu Selangor sebagai sebahagian usaha memelihara, memperkasa dan memperkenalkan semula juadah tradisional kepada masyarakat.








