Modul berkualiti jadi kunci kejayaan Program Tuisyen Rakyat Selangor

4 Jun 2026, 4:00 AM
Modul berkualiti jadi kunci kejayaan Program Tuisyen Rakyat Selangor

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Modul pembelajaran yang dibangunkan secara komprehensif menjadi antara faktor utama kejayaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata setiap modul yang digunakan dalam program itu melalui proses pembangunan dan penilaian yang teliti bagi memastikan kandungannya relevan serta memenuhi keperluan semasa pelajar.

Menurutnya, sebanyak lima bengkel pembangunan diadakan bagi menghasilkan satu modul berkualiti sebelum digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Keunikan PTRS adalah kami menyediakan modul secara percuma kepada pelajar. Modul yang dibangunkan mempunyai kualiti yang baik dan melalui proses penyediaan yang teliti.

“Bagi menghasilkan satu modul, kami mengadakan lima bengkel pembangunan bagi memastikan kandungannya benar-benar membantu pelajar menghadapi peperiksaan,” katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, semalam.

Ahmad Azri berkata, setakat ini PTRS menyediakan lapan modul merangkumi mata pelajaran teras dan elektif termasuk Bahasa Melayu, Matematik Tambahan, Fizik serta Kimia.

Katanya, usaha mengekalkan standard modul dilaksanakan menerusi kerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kami sentiasa mengadakan bengkel penambahbaikan dan kawalan kualiti. Pada masa sama, kami mendapatkan pengiktirafan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan bagi memastikan program ini terus relevan dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, selain modul bercetak, Yayasan MBI turut memperkenalkan platform e-PTRS yang menawarkan kandungan digital bagi melengkapkan proses pembelajaran pelajar.

Menurutnya, gabungan penggunaan modul bercetak dan pembelajaran digital mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel serta sesuai dengan keperluan generasi masa kini.

Ahmad Azri berkata, Yayasan MBI akan terus memperkukuh program pendidikan sedia ada selain bekerjasama dengan pelbagai agensi di bawah Kerajaan Negeri bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai pelajar.

“Kita mahu memastikan program yang sudah terbukti berkesan ini terus diperkasakan. Jika terdapat kekurangan, kita akan menambah baik dan menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak agensi untuk memperkukuh sektor pendidikan di Selangor,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.