KUALA LANGAT, 27 NOV: Walaupun terpaksa meninggalkan kediaman akibat banjir, kemudahan khemah untuk keluarga, bekalan internet dan makanan mengikut jadual membantu mangsa menjalani kehidupan harian dengan lebih teratur di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang.
Pengawal keselamatan, Mohd Basir Yusof, 39, berkata kemudahan asas yang disediakan setakat ini mencukupi, termasuk tempat tidur, keperluan mandi serta makanan untuk empat kali sehari.

"Setakat ini semua orang kata dalam keadaan selesalah sebab setiap keluarga ada khemah sendiri. Makan pun disediakan untuk sarapan pagi, tengah hari, petang dan malam. Kelengkapan mandi dan tidur pun semua cukup," katanya ketika ditemui Media Selangor di PPS berkenaan hari ini.
Suri rumah, Nurhidayu Baharuddin, 29, pula berkata penyediaan khemah di dalam bilik darjah memberi ruang lebih privasi kepada keluarga, khususnya wanita.
Katanya, keluarganya yang mempunyai ramai ahli diberikan dua khemah bagi menampung keperluan mereka sepanjang berada di pusat pemindahan itu.

"Kalau keluarga saya yang ramai, sebab kakak dua orang baru datang, jadi mereka bagi dua khemah. Satu keluarga dapat dua khemah," katanya.
Selain kemudahan asas, aktiviti seperti mewarna, melukis dan menari anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pihak sekolah turut membantu mengisi masa kanak-kanak.
Bagaimanapun, pertambahan jumlah penghuni menyebabkan beberapa kemudahan perlu ditambah baik, khususnya dari segi pengudaraan di bilik darjah yang menempatkan banyak khemah.
Sementara itu, pengusaha makanan sejuk beku, Nabila Farhana Baharuddin, 35, berkata pengurusan PPS kali ini lebih teratur berbanding pengalaman banjir sebelum ini, namun kipas tambahan diperlukan bagi mengurangkan bahang, terutama pada waktu malam.

"Khemah bagus, cuma ada kelas yang menempatkan sehingga lima khemah. Pengudaraan terhad dan kipas tambahan perlu diperbanyakkan kerana ramai yang ada anak kecil. Waktu malam, keadaan panas menyebabkan anak-anak menangis," katanya.
Beliau turut berharap pihak berwajib dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir yang menurutnya berlaku dua kali di kawasan itu tahun ini, termasuk pada Jun dan 25 November lalu.
Terdahulu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyalurkan bantuan keperluan bernilai lebih RM30,000 kepada lebih 700 mangsa daripada lebih 200 keluarga di PPS berkenaan dan sebuah lagi PPS di Labohan Dagang.
Sumbangan merangkumi makanan kering, air mineral, toto, tilam, cerek elektrik, mesin pancutan air serta barangan keperluan asas lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Selangor turut menyediakan bekalan internet tambahan bagi memenuhi keperluan komunikasi mangsa.
Yayasan MBI juga membuka kaunter pendaftaran Platform Selangor (PLATS) di PPS berkenaan bagi memberi peluang kepada mangsa yang menjalankan perniagaan dalam talian mendaftar dan mendapatkan manfaat menerusi program keusahawanan pada masa akan datang.








