SHAH ALAM, 20 NOV: Semua mangsa banjir termasuk yang memilih untuk kekal di kediaman masing-masing dinasihatkan mendaftar bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pendaftaran penting bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan maklumat mangsa dan menyelaraskan penyaluran bantuan, lapor Berita Harian.
“Masuk PPS atau yang tidak pindah pun kena berdaftar supaya kita ada rekod, cuma yang lambat daftar mungkin ambil masa sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Dato Maharaja Lela, Kampung Parit Omar, Jeram di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan.
Nancy berkata pihaknya sudah menyalurkan maklumat mangsa yang diterima, namun proses bantuan mungkin mengambil masa bagi mereka yang lewat mendaftar.
“Kita sudah salurkan semua (maklumat) melainkan mereka yang tertinggal disebabkan masa dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, JKM turut bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan mangsa yang memerlukan penempatan di PPS sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
Setakat ini, seramai 1,817 mangsa daripada 503 keluarga berlindung di 14 PPS di seluruh Selangor.






