KUALA LANGAT, 27 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membuka kaunter pendaftaran Platform Selangor (PLATS) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang bagi memberi peluang kepada peniaga yang terjejas banjir menyertai platform berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif itu dibawa selepas pihaknya mendapati ramai mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan terdiri daripada peniaga dan usahawan dalam talian.

"Saya dimaklumkan ramai juga mangsa di sini adalah peniaga dan usahawan dalam talian. Justeru, hari ini saya bawa Platform Selangor, inisiatif keusahawanan di bawah Yayasan MBI, untuk kita daftarkan mereka," katanya ketika ditemui Media Selangor di PPS berkenaan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyediakan kemudahan internet tambahan bagi memenuhi keperluan komunikasi mangsa sepanjang berada di PPS.
Ahmad Azri berkata, kemudahan itu disediakan sehari sebelum lawatannya bagi mengatasi kemungkinan gangguan capaian susulan peningkatan jumlah pengguna.
"Paling penting adalah keperluan mencukupi di PPS ini supaya lebih selesa. Semalam pun SKMM telah hadir ke PPS ini untuk membekalkan internet kerana apabila ramai orang berada di sini, capaian telefon biasanya akan terganggu. Jadi, mereka membekalkan internet tambahan untuk keperluan di sini," katanya.

Selain itu, Yayasan MBI turut menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM30,000 berupa makanan kering, air mineral, toto, tilam, cerek elektrik, mesin pancutan air dan barangan keperluan asas lain.
Bantuan itu membabitkan lebih 700 mangsa daripada lebih 200 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan serta sebuah lagi PPS di Labohan Dagang yang dibuka susulan kepadatan mangsa.
Ahmad Azri berkata, Yayasan MBI bersedia menambah bantuan mengikut keperluan semasa mangsa yang terjejas.
Mengulas perkembangan banjir, beliau memaklumkan ban yang pecah telah selesai dibaiki sepenuhnya pada malam sebelumnya dan air sungai tidak lagi memasuki kawasan terjejas.
Sementara itu, sebarang pengumuman berhubung bantuan pascabanjir akan dimaklumkan kemudian oleh Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari.







